Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Seorang mekanik sambilan ditemui mati dalam kereta dengan besi paip tertusuk pada dahinya di Batu 2, Jalan Bukit Sembilan, Jalan Kuala Ketil-Baling, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 11 malam.

Mangsa maut dipercayai tertusuk besi paip yang menembusi cermin depan keretanya.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shaiffuddin Yusof, berkata mangsa dari Kampung Paya Besar, Kuala Ketil, di sini, dipercayai mati di tempat kejadian dalam keadaan tersandar di tempat duduk pemandu.

“Kita juga menemui parang tanpa sarung dan satu lastik di sisi mangsa serta beberapa besi berhampiran kereta itu. Bagaimanapun, tiada kehilangan harta benda milik lelaki berkenaan.

"Berikutan itu, polis sedang memburu lima lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 149 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 2:54 PM