FOTO Rasul Azli Samad
Zairee Mohd Yasak

Jasin: Sembilan puluh lima pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, ditugaskan untuk memantau keadaan 'Mahligai Ratu Cahaya' di Kampung Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Ini bagi mengelak lokasi itu dikunjungi jemputan majlis penganugerahan yang dikatakan hendak dianjurkan seorang wanita menggelarkan dirinya sebagai 'Bonda Ratu'.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Sampornak Ismail, berkata langkah pencegahan awal dilakukan untuk mengelakan sebarang masalah berlaku di kediaman itu dan kawasan sekitarnya.

"Kami juga memohon afidavit daripada Mahkamah Majistret Jasin yang diserahkan kepada penghuninya, pada 12 tengah malam semalam.

“Kami tampal pada papan tanda di hadapan kediaman terbabit sebagai rujukan kepada tetamu yang mungkin hadir.

"Walaupun afidavit itu hanya berkuatkuasa hari ini, pemantauan tetap dilakukan bagi memastikan penghuni kediaman terbabit mematuhi perintah itu," katanya ketika ditemui pada 'Operasi Bonda Ratu', di sini, hari ini.

Sampornak berkata, tindakan itu selaras dengan perintah Bukit Aman untuk mengelak sebarang perbuatan individu yang ingin mengelirukan masyarakat dan menganggu ketenteraman awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 8:30 PM