Kuala Lumpur: Selepas Rizal Tisin dan Edrus Md Yunus, kini giliran pelumba senior trek negara, Josiah Ng (gambar) mengumumkan persaraan seterusnya terlepas peluang beraksi di Sukan Olimpik 2016 Rio.

Josiah, 34, mengumumkan dalam Facebook Kejohanan Trek Dunia 2015 Paris, Februari depan penampilan terakhirnya sebagai atlet berbasikal negara.

“Keputusan paling berat buat semua atlet profesional adalah membuat pengumuman untuk bersara,” kata pelumba yang lahir di Manila, Filipina itu.

Jelasnya, niat untuk bersara timbul sejak dia menyertai Sukan Asia 2014 Incheon yang menyaksikannya memenangi pingat gangsa acara keirin.

“Saya sudah mewakili Malaysia hingga ke peringkat tertinggi dalam tempoh 15 tahun dan berasa ini masa tepat untuk mencari cabaran baru,” katanya yang pernah meraih emas Sukan Komanwel 2010 New Delhi.

Josiah yang berpangkalan di Melbourne bersama Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, mengakui berasa puas apabila dapat memaksa dirinya meraih kejayaan.

“Saya juga tidak akan melupakan detik kemalangan ketika Siri Piala Dunia Klasik 2013 Mexico yang hampir meragut nyawa saya,” katanya.

Josiah juga pernah meraih Anugerah Olympian dan Olahragawan Negara pada 2004 kerana mara ke saingan akhir Sukan Olimpik Athens.

“Perjalanan ini tidak akan berlaku tanpa ramai yang membantu saya. Saya sangat berbesar hati,” katanya sambil turut menghargai bantuan diberikan ketua jurulatih trek negara John Beasley.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:10 AM