KAWASAN pameran menempatkan gerai dan lokasi aktiviti Comic Fiesta 2015.
KAWASAN pameran menempatkan gerai dan lokasi aktiviti Comic Fiesta 2015.
PELBAGAI gaya Power Ranger.
PELBAGAI gaya Power Ranger.
GAJET disediakan untuk dicuba pengunjung.
GAJET disediakan untuk dicuba pengunjung.
WATAK popular menjadi pilihan digayakan.
WATAK popular menjadi pilihan digayakan.
LENGKAP dengan aksesori seperti watak sebenar.
LENGKAP dengan aksesori seperti watak sebenar.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Bagaikan melewati bandar asing apabila pelbagai pakaian seragam karakter dalam komik popular berjalan sekitar Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines Seri Kembangan, baru-baru ini.

Bukan sekadar pakaian berubah, malah ada antara mereka membawa prop seperti senjata mahupun aksesori yang pernah dilihat dalam komik mahupun animasi di televisyen.

Sesuatu luar kebiasaan menyaksikan sendiri temasya Comic Fiesta 2015 yang mengumpul penggemar ‘anime’ mahupun manga iaitu animasi serta komik Jepun di Malaysia.

Meskipun karakter animasi mahupun komik menjadi agenda terbesar dalam festival dua hari itu, ada juga acara kejohanan bagi golongan ‘kaki’ permainan video mengambil bahagian .

Bagi peminat tegar ‘anime’ mahupun manga, Nur Nasran Syahiran Abdul Razak, dia teruja dengan pengalaman julung kali berada dalam pesta komik itu.

Katanya, sebelum ini pesta sedemikian pernah ditonton di televisyen mahupun Internet, namun perasaan berada dalam festival seperti ini sesuatu tidak mampu diungkapkan.

“Keseronokan berada dalam pesta komik sebegini tidak sama ketika menontonnya di televisyen mahupun melayari video di Internet. Rasa tidak puas mengelilingi ruang pameran mahupun menyertai slot aktiviti disediakan penganjur mahupun pemamer.

“Paling saya nantikan dalam Comic Fiesta 2015 persembahan Cosplay, sebab inilah peluang melihat orang tampil unik seperti watak ‘anime’ dalam dunia sebenar. Jika pesta ini dianjurkan lagi, saya akan datang lagi,” katanya.

Jika di Malaysia siri komik keluaran tempatan, Lawak Kampus antara diminati anak jati Langkawi Kedah ini, manakala komik antarabangsa ialah manga bersiri Naruto.

Katanya, dalam pesta ini dia dapat berkongsi maklumat bersama rakan yang mempunyai minat sama.

“Peminat yang mempunyai kegemaran membaca komik adalah daripada pelbagai peringkat kumpulan umur. Bayangkan daripada kanak-kanak hingga umur 40-an boleh ditemui. Ia bukan semata-mata karnival untuk remaja mahupun kanak-kanak.

“Malah kalau dilihat, pelbagai genre ada dalam komik seperti romantik, komedi, seram dan aksi. Ada juga komik diklafikasikan untuk pembacaan golongan dewasa sahaja.

“Jadi dengan datang ke karnival ini, bukan saja artis mahupun ikon dalam bidang komik, malah saya sempat bertemu dengan pelbagai kumpulan peminat,” katanya yang meminati artis komik Keith, Eiichiro Oda, Gosho Aoyama dan Masashi Kishimoto.

Selain menarik kumpulan pengunjung lelaki, ada juga peminat tegar wanita datang memeriahkan festival berkenaan.

Bagi penuntut jurusan Illustrasi One Academy Kuala Lumpur Lai Zhi Yin, satu kemestian dia serta rakannya berada dalam karnival berkenaan menyaksikan karya seni artis antarabangsa menempa nama dalam bidang illustrasi komik.

Katanya, dia kagum dengan hasil kerja ditonjolkan pelukis komik Jepun terkenal dengan illustrasi kemas selain latar menarik sesuai dengan penceritaan dipilih.

“Tentu saja bagi pelajar bidang illustrasi, pesta begini wajar dihadiri bertujuan melihat secara dekat hasil kerja mereka selain bertemu dengan artis popular seperti Krenz yang juga pensyarah di Taoyan Taiwan.

“Saya juga minat melukis. Hadir dalam sesi bersama beberapa pelukis berkongsi pengalaman seperti Kristina Yuen membuka mata saya mengenai perspektif serta peluang dalam bidang ini,” katanya.

Namun di sebalik keseronokan, Yin berkata, dia perlu berhati-hati berbelanja dalam festival berkenaan kerana ada segelintir peniaga menjual cenderahati karakter popular dalam komik pada harga jauh lebih tinggi.

“Harapan saya, mereka yang menjual barangan cenderahati tidak mengambil kesempatan terhadap pengunjung.

“Ini hanya rungutan saya dan rakan yang mahu membeli barang memaparkan karakter kerana mendapati harga mahal berbanding dijual di luar. Bukan semua cuma segelintir dan ia hanya disedari rakan yang juga pengumpul barangan berkenaan,” katanya.

Manakala pengunjung dengan pakaian bertema Deadpool daripada komik terbitan Marvel Comic Universe, Harith Syafiq Mohd Zulkifli Tiew berkata, dia tampil secara ‘cosplay’ kerana ia menyeronokkan.

“Saya tidak menyertai pertandingan hanya suka mengenakan seragam Deadpool kerana ia menyeronokkan. Saya cuba menghayati watak adiwira terbabit dan beraksi untuk peminat komik yang berkunjung dalam pesta berkenaan.

“Biarpun tidak menyertai pertandingan, saya teruja bertemu rakan yang mempunyai minat sama serta berkongsi skil mahupun untuk mengetahui persiapan mereka untuk pertandingan berkenaan.

“Mana tahu kelak saya akan menyertai dan berpeluang beraksi di pentas pertandingan,” katanya yang pernah menghadiri program hampir sama seperti Animangaki dan Cosplay League.

Pesta berlangsung itu turut dihadiri ikon komik antarabangsa seperti Reika, Cosplay dari Osaka Jepun mahupun Penerbit Kanan 11 bit Studio Marek Zeimak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:02 AM