NOORKHIRIAH.
Oleh Norhayati Nordin


Meskipun kini giat berniaga, Noorkhiriah Ahmad Shapie, 40, tidak melupakan sepenuhnya bidang lakonan.

Muncul dalam drama Along untuk slot Cerekarama, TV3 baru-baru ini, Noorkhiriah yang mendapat jolokan pelakon air mata sedia berlakon dan minat itu tidak pernah pudar.

Pernah merangkul trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama dan Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK) TV3, Noorkhiriah berkata, dia jarang mendapat tawaran berlakon sekarang bukan disebabkan terlalu memilih watak.

Katanya, kebanyakan penggiat industri beranggapan dia sudah tidak mahu berlakon menyebabkan jarang mendapat tawaran.

“Hakikatnya, minat saya pada lakonan tidak pernah padam. Malah saya rindu untuk berlakon. Dari dulu sampai sekarang, saya masih ingin berlakon.

“Selama berbelas tahun saya mempertaruhkan bakat dalam karier seni hingga dikenali, ia memori indah. Cuma faktor usia makin meningkat dan keutamaan pada keluarga membuatkan saya perlu memperlahankan karier. Kini, saya ada rezeki pula dalam perniagaan,” katanya.

Menceburi perniagaan busana Muslimah dengan rekaan sendiri, Nur by Khiriah serta kelengkapan umrah sejak setahun lalu, Noorkhiriah sangat bersyukur dengan rezeki diperoleh kini.

Anak jati Pahang ini berkata, suami, Azfaizul Ahtan, 39, membantu dan mereka saling menyokong dan berganding bahu memantapkan perniagaan.

Lebih mengharukan Noorkhiriah apabila suaminya juga tidak menghalangnya untuk terus bergerak aktif dalam lakonan.

Katanya, memandangkan sekarang dia sudah berhijab, tidak semua watak sesuai dilakonkan. Malah dari segi watak, dia akui gemar berbincang.

“Bagi saya, berbincang lebih baik dan profesional dalam bekerja. Begitu juga soal bayaran. Saya selesa berbincang.

Sebagai pelakon berpengalaman, melakukan perbincangan bagi saya wajar dan penting,” kata ibu kepada dua cahaya mata, Muhammad Hudhaifah , 7, dan Muhammad Yusoff, 5 ini.

Dalam perniagaan, Noorkhiriah tidak menduga percubaannya berjaya. Kini dia memperkenalkan produk wangian tanpa alkohol dan boleh dibawa solat iaitu Hijabmist. Tidak gentar berhadapan saingan dunia perniagaan, dia mempelbagaikan jualan produk di butik mini miliknya.

Mengenai pengurusan keluarga, Norkhiriah akui pada awal Januari ini sibuk dengan persekolahan anak sulungnya.

“Syukur, Muhammad Hudhaifah belajar darjah satu tahun ini dan saya gembira melihat dia seronok ke sekolah. Sebagai ibu, saya inginkan yang terbaik buat anak-anak dalam kehidupan mereka terutama dalam pelajaran. Saya mahu mereka berjaya.

“Anak kedua juga saya dapati sama seperti abangya, suka belajar. Selagi termampu, saya akan memberi pendidikan yang baik buat mereka,” katanya.

Noorkhiriah juga tidak menolak untuk menambah ahli keluarga. Katanya, sama seperti rezeki, urusan anak adalah ketentuan Tuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:03 AM