ABDUL Aziz

Kuala Lumpur: Bakal pembeli hartanah dinasihatkan tidak menjadikan faktor lokasi semata-mata sebagai garis panduan untuk pelaburan hartanah kerana ia tidak menjamin pulangan dan masih memiliki risiko pada masa depan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Rescom Realty, Abdul Aziz Ahmad berkata, terdapat pelbagai perkara lain yang perlu diberi perhatian seperti kemudahan setempat, potensi kawasan dan populasi di kawasan sekitar hartanah terbabit.

“Saya akui faktor lokasi adalah satu daripada pertimbangan sebelum melakukan pelaburan namun ia perlu disertakan dengan ilmu dan kajian daripada bakal pembeli,” katanya pada sesi ceramah ‘Greater KL 2016’ bersempena Pameran Hartanah MyRumah di sini, semalam.

Beliau berkata, kawasan Greater KL dijangka menawarkan potensi baik kepada bakal pembeli terutama di kawasan selatan Kuala Lumpur hingga ke Negeri Sembilan selain kawasan di sepanjang laluan baru untuk Mass Rapid Transit (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

“Kawasan terbabit terutama di sepanjang laluan MRT dan LRT akan dipenuhi dengan pelaksanaan projek pembangunan hartanah terutama rumah mampu milik pada masa depan namun mereka tetap perlu melihat pelbagai perkara sebelum membeli rumah,” katanya.

Abdul Aziz berkata, bakal pembeli terutama pembeli kali pertama boleh melakukan pelaburan ini dan mereka juga boleh membeli rumah di pasaran sekunder yang memiliki akses kepada kemudahan pengangkutan awam atau pun boleh meninjau kawasan berpotensi lain di Greater KL.

“Apa paling penting, mereka juga boleh melakukan pelaburan di kawasan Greater KL sama ada melalui pembelian rumah di pasaran pertama atau sekunder,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 6:43 AM