IBU BAPA menghantar anak masuk ke dalam kelas selepas waktu perhimpunan pada hari pertama persekolahan. - Gambar hiasan.
SEORANG wanita memujuk anaknya pada hari pertama persekolahan.
IBU BAPA dilarang menunggu anak di hadapan kelas bagi mengelak gangguan aktiviti dalam bilik darjah.
MURID teruja untuk memulakan persekolahan.
RUANG kantin dipenuhi ibu bapa yang menunggu murid membeli dan makan ketika waktu rehat. - Gambar hiasan.
SEORANG murid tahun satu ditemani ibu bapanya masuk
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Setiap kali bermula sesi persekolahan murid tahun satu, antara gelagat yang sering mencuri perhatian sudah tentu ragam ibu bapa ketika menghantar anak masing-masing ke sekolah.

Bagaikan sudah menjadi budaya, sebahagian besar ibu bapa bukan saja sanggup mengorbankan waktu bekerja atau senggang, malah sanggup berdiri berjam-jam di sekolah semata-mata mahu menyaksikan sendiri hari pertama anak di sekolah.

Walaupun tindakan itu dianggap rasional oleh pihak sekolah, apatah lagi kebanyakannya memberi kelonggaran kepada ibu bapa untuk menemani anak di luar kelas, ada juga rungutan mengatakan tindakan itu boleh mengganggu sesi pembelajaran murid dan tugasan guru.

Ini terutama membabitkan sikap ibu bapa yang kurang peka seperti melambai dan mengintai anak mereka dari tingkap kelas ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung menyebabkan ada guru kurang selesa manakala tumpuan murid lain turut terganggu.

Guru Besar SK Saujana Utama (SKSU) Sungai Buloh, Selangor Mohd Ikhsan Ahmad berkata, tidak salah jika ibu bapa mahu menemani anak pada minggu pertama persekolahan kerana ia memberi peluang kepada mereka melihat kemampuan si anak menyesuaikan diri.

Menurutnya, pihaknya sedia maklum ramai ibu bapa kurang yakin dengan kemampuan anak mereka mengharungi suasana baru di sekolah.

“Sekolah memang beri kelonggaran kepada ibu bapa berada di kawasan sekolah sepanjang minggu pertama sesi persekolahan.

“Ia sebagai tanda prihatin kami untuk meredakan kebimbangan ibu bapa terhadap kemampuan anak dalam aspek pengurusan diri. Mereka juga dapat melihat proses pembelajaran dan pengajaran yang perlu diikuti anak masing-masing, sekali gus memahami proses yang perlu diharungi sepanjang sesi persekolahan berlangsung,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kelonggaran itu perlu dibatasi dengan kewajaran tertentu.

“Antaranya, ibu bapa diingatkan supaya tidak mengganggu proses pembelajaran anak sewaktu di dalam kelas. Ia akan mengganggu konsentrasi guru dan murid lain.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya ibu bapa sangat memahami. Hanya segelintir kecil melakukan perbuatan itu,” katanya.

Antara yang merisaukan ibu bapa pada hari pertama persekolahan ialah penyesuaian anak terhadap lokasi tertentu seperti bilik darjah, tandas dan kantin.

“Ini antara yang sering diutarakan kepada pihak sekolah kerana mereka masih kurang yakin dengan keupayaan anak.

“Untuk itu, kami sudah bersedia awal, antaranya menyediakan ramai guru untuk membantu murid, melekatkan tanda arah dan rujukan tertentu,” katanya.

Mohd Ikhsan turut memberi pandangan positif kerana kini tidak ramai lagi murid tahun satu menangis atau meragam pada hari pertama persekolahan.

“Setakat ini masih belum ada kes ketara di sekolah ini selain murid menangis kerana mahu ikut ibu bapa, tapi kami anggap ia normal.

“Pihak sekolah juga sentiasa memastikan murid dapat menyesuaikan diri bagi membina keyakinan diri,” katanya.

Guru Panitia Tahun Satu SKSU ZsaZsa Ayu Ramadsa Abdullah pula berkata, minggu pertama sesi persekolahan penting bukan saja kepada ibu bapa dan murid, malah pihak sekolah.

“Minggu pertama yang dipanggil minggu transisi bertujuan mendedahkan murid dengan persekitaran sekolah dan menyesuaikan diri dengan rakan baru. Ia juga bagi mengajar mereka berdikari dan melaksanakan tugasan diberi tanpa bantuan ibu bapa,” katanya.

Bagi meningkatkan keselesaan murid, beberapa aspek diubah suai untuk keperluan mereka.

“Misalnya, waktu rehat mereka berbeza dengan murid lain bagi memastikan mereka selesa selain mengelakkan berebut.

“Ibu bapa tak perlu risau dan boleh meninggalkan anak tanpa bimbang kerana pihak sekolah sentiasa mengambil langkah pengawasan bagi menjamin keselamatan murid,” katanya.

Ibu bapa teruja hantar anak

“Melakukan persediaan menghantar anak memasuki tahun satu sudah tidak asing lagi kepada saya kerana sebelum ini sudah ada pengalaman menghantar dua anak.

“Cuma kali ini saya agak teruja kerana menghantar anak bongsu dan suasananya pula berbeza,” kata Baizurah Abu Bakar, ibu kepada murid tahun satu ketika ditemui di SK Saujana Utama (SKSU) Sungai Buloh, Selangor.

“Jika sebelum ini saya hanya ambil cuti sehari, kali ini dua hari untuk memastikan anak bongsu pulang dengan selamat kerana ini kali pertama dia menaiki van sekolah,” katanya.

Baizurah bersyukur kerana anaknya tenang dan tidak menangis ketika pertama kali masuk ke dalam kelas selepas perhimpunan.

“Anak masuk tadika sejak berusia empat tahun, jadi dia sudah biasa dan tiada masalah,” katanya.

Berbeza pula dengan Hazeman Hasan yang berkata, sesi persekolahan ini menjadi pengalaman barunya menguruskan persekolahan anak sulung.

“Ini kali pertama saya menunggu anak masuk sekolah. Untuk itu, saya ambil cuti tiga hari bagi menemaninya pulang.

“Dia hanya berjalan kaki kerana rumah kami dekat dengan sekolah,” katanya

Menurut Hazeman, tiga hari cuti diperlukan bagi memastikan anaknya membiasakan diri untuk membeli makanan di kantin selain mengingati beberapa tempat penting seperti kedai buku dan tandas.

“Sebelum ini, dia sudah pernah ke tadika selama dua tahun, jadi tidak sukar untuk menghantarnya ke sekolah.

“Dia juga tak menangis ketika masuk ke dalam kelas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 11:33 AM