KEADAAN tempat tinggal Saminah dan Saimen di sebuah ladang di bandar Ulu Tiram.

Ulu Tiram: Akibat kesunyian, dua beradik warga emas sanggup berkongsi tempat tinggal bersama haiwan peliharaannya seperti ayam, itik dan arnab sejak lebih lima tahun lalu yang dianggap ahli keluarga mereka.

Dua beradik berkenaan, Saimen Ahmad, 65, tinggal di sebuah kediaman terbiar bersama kakaknya, Saminah Ahmad, 75, di sebuah ladang berhampiran bandar Ulu Tiram di sini.

Mereka bukan saja berkongsi makanan sumbangan orang ramai bersama haiwan peliharaan malah turut berkongsi tempat tidur.

Pegawai Jabatan Kebajikan Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, kedua-dua warga emas itu memiliki keluarga iaitu adik beradik tiri yang tinggal di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, bagaimana pun dua beradik berkenaan tidak mahu membebani mereka dan nekad untuk tinggal berasingan walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Menurutnya, sebelum ini, Saimen pekerja ladang, namun berhenti kerja sejak 10 tahun lalu atas faktor kesihatan.

Katanya, sejak tiada punca pendapatan, mereka meneruskan kehidupan dengan ihsan jiran, kenalan dan adik beradik tirinya.

“Pengurusan ladang berkenaan yang bersimpati dengan keadaan mereka memberi kebenaran tinggal di situ biar pun unit kuarters lain tidak berpenghuni.

“Akibat tinggal bersama haiwan peliharaan yang banyak, rumah mereka berbau selain tercemar dengan najis binatang serta berlumpur,” katanya.

Manayi berkata, kehidupan mereka mendapat perhatian penduduk sekitar yang tampil menyalurkan maklumat kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, demi keselamatan dan kesihatan warga emas berkenaan, pihaknya menyelamatkan kedua-dua beradik itu semalam mengikut Akta Orang Papa 1977.

Katanya, tambahan pula, Saminah yang mengalami masalah bongkok akibat tulang rapuh sukar bergerak.

“JKM menyelamatkan mereka dengan menempatkan kedua-duanya di Rumah Seri Kenangan Johor Bahru untuk mendapatkan penjagaan perlindungan sementara.

“Mereka dipujuk untuk keluar dari rumah itu kerana keberatan meninggalkan binatang peliharaan.

“Mereka bersetuju selepas ada kenalan menyatakan mahu mengambil semua haiwan itu dan menjaganya dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 8:23 AM