WAKIL KKKL bersama sukarelawan.
WAKIL KKKL bersama sukarelawan.
ANTARA mural yang dihasilkan pelajar.
ANTARA mural yang dihasilkan pelajar.
PELAJAR berbangga dengan hasil usaha mereka.
PELAJAR berbangga dengan hasil usaha mereka.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Aktiviti pembelajaran seharusnya tidak terhad di dalam kelas saja sebaliknya pasti lebih menarik dan meninggalkan kesan positif jika turut dilakukan secara santai.

Justeru, pelajar Sijil Animasi 2D, Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) baru-baru ini diberi peluang menjalani pengalaman pembelajaran yang berlainan dengan melakukan amali lukisan di luar kelas iaitu di Pantai Baru Morib.

Program amali ini adalah serampang dua mata kerana ia juga adalah aktiviti sukarelawan dengan melukis mural 3D bertemakan alam sekitar di tandas Pantai Baru Morib.

Program ini bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk diaplikasikan bagi membantu meningkatkan kreativiti pelajar Program Animasi 2D.

Selain itu, program ini memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran yang berbeza agar pelajar lebih fokus melalui aktiviti mengecat bangunan dan melukis mural.

Di samping itu juga ia dapat menyemai rasa tanggungjawab sosial dalam diri pelajar melalui aktiviti sukarela di bawah Pasukan Bridged Sukarelawan (BriSK) Kolej Komuniti.

Melalui program ini juga, ia dapat memberi galakan motivasi kepada pelajar supaya mampu melahirkan semangat berkumpulan dan keyakinan diri dalam membantu meningkatkan sahsiah dan pencapaian akademik.

Program mengecat ini dijalankan dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), iM4U dan Syarikat ATKC yang menyumbangkan dana dan alatan mengecat.

Sebelum program bermula, MDKL membaik pulih tandas awam dengan mengecat semula dinding tandas berkenaan sebelum melakukan proses melukis dan mewarna mural.

Program ini secara tidak langsung dapat menarik minat masyarakat untuk berkunjung ke Pantai Baru Morib bersama keluarga. Pelaksanaan program ini juga meningkatkan daya tarikan pantai itu sebagai pusat pelancongan selain menarik minat pengunjung dari luar kerana ia satu-satunya lukisan mural 3D di daerah Kuala Langat.

Menurut Pengarah KKKL Lt Kol Bersekutu (PA) Zainah Rujihan, pihaknya amat menggalakkan pensyarah membawa pelajar menjalani proses pembelajaran dan pengajaran (PDP) di luar kelas.

“Selain proses PDP, pelajar juga dapat memberi sumbangan kepada komuniti berdasarkan kemahiran mereka. Saya berharap lebih banyak pihak tampil memberi pelbagai bentuk kerjasama untuk membolehkan kita memperbanyakkan lagi program seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 11:13 AM
Digital NSTP Subscribe