INARRITU (kiri) dan DiCaprio bersama anugerah masing-masing.

Los Angeles: Kisah epik ‘The Revenant’ dan filem blockbuster angkasa lepas ‘The Martian’ menang besar pada anugerah Golden Globes semalam, seterusnya membuka ruang untuk kemenangan lebih besar meraih Oscar bulan depan.

‘The Revenant’ - kisah penjerat haiwan Hugh Glass pada kurun ke-19 yang dilakonkan Leonardo DiCaprio - memenangi tiga anugerah utama pada acara itu untuk kategori drama, pelakon lelaki (DiCaprio) dan pengarah terbaik (Alejandro Gonzalez Inarritu).

Sementara itu, ‘The Martian,’ kisah mengenai angkasawan yang terkandas seorang diri di planet Marikh memenangi dua anugerah utama untuk filem komedi dan pelakon komedi lelaki terbaik yang dimenangi Matt Damon.

Disebabkan dua filem itu diasingkan kategorinya oleh penganjur Golden Globes, ia tidak bersaing.

Bagaimanapun, kedua-dua filem itu akan bersaing sengit untuk meraih Oscar pada anugerah Academy 28 Februari ini.

DiCaprio - yang kemenangannya disambut dengan tepukan gemuruh rakan Hollywoodnya - berkata, dia mahu berkongsi anugerah itu dengan masyarakat orang asli di seluruh dunia.

“Sudah tiba masanya kita semua mengiktiraf sejarah kamu (orang asli) dan melindungi tanah nenek moyang kamu daripada kepentingan korporat serta golongan yang mahu mengambil kesempatan mengeksploitasinya,” katanya.

Pengkritik percaya filem itu mungkin peluang terakhir untuk DiCaprio memenangi Oscar pertamanya sejak mula berlakon.

Sementara itu, pelakon popular Kate Winslet dan Sylvester Stallone juga memenangi anugerah yang diadakan di Beverly Hills itu.

Kate mendapat anugerah pelakon pembantu wanita terbaik untuk wataknya dalam filem ‘Steve Jobs,’ manakala Stalone sebagai pelakon pembantu lelaki terbaik dalam ‘Creed’ yang melihatnya memegang watak terkenalnya, peninju Rocky Balboa.

‘Spotlight,’ filem mengenai wartawan The Boston Globe yang mendedahkan penderaan seks dalam Gereja Katolik gagal meraih anugerah.

Begitu juga ‘The Big Short,’ kisah yang berdasarkan daripada buku mengenai krisis kewangan 2007-2008. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 11:21 AM