AWIE sentiasa mementingkan kebahagiaan anak-anaknya.
AWIE sentiasa mementingkan kebahagiaan anak-anaknya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Ada suka dan ada duka. Begitulah rentetan peristiwa yang dilalui penyanyi dan pelakon terkenal, Awie sepanjang tahun lalu.

Selebriti bernama sebenar Ahmad Azhar Othman, 48, ini hanya mahu mengabadikan cerita gembira dan melupakan peristiwa pahit yang menghantui hidupnya sepanjang tahun lalu.

Justeru sebagai langkah pertama, dia nekad meninggalkan kediaman lamanya di Ukay Bistari, Ampang bagi memulakan kehidupan baru bersama anak-anak.

Awie berkata, dia mengharapkan tindakannya bakal membawa sinar baru dan keceriaan dalam keluarga mereka. Apatah lagi dia seorang yang mementingkan kebahagiaan anak-anaknya.

“Saya berdoa agar ia membawa sesuatu yang positif dalam hidup kami. Saya akui sudah tak selesa untuk tinggal di situ lagi kerana berdepan dengan pelbagai perkara tak elok.

“Kalau diikutkan saya lebih banyak tidur di hotel kerana apabila berada di rumah itu, saya kerap diganggu dengan perkara yang tak diingini. Kalau berada di rumah pun saya memang tak selesa dan lebih baik saya keluar,” katanya.

Menurut Awie, kedatangan tahun 2016 dipandang positif dari semua sudut.

“Umur saya dan makin meningkat, tumpuan kini lebih kepada mereka. Saya juga perlu bekerja lebih keras untuk menentukan kebahagiaan saya dan mereka.

“Saya bersyukur mereka sangat menghormati saya sebagai bapa. Apa saja tindakan dan kemahuan mereka sentiasa dimaklumkan kepada saya. Nak ke mana sekalipun mereka akan minta izin daripada saya.

“Saya berterima kasih kepada kakak, Hawa atau Kak Chik yang secara tak langsung jadi penjaga kepada anak saya. Dia sekarang tinggal bersama saya dan apabila cuti akan balik ke rumahnya.

“Kakak juga bekerja dengan saya sebagai pengarah urusan dalam Awie Entertainment. Saya bersyukur dan menghargai pinjaman kasih sayang yang diberikan ini,” katanya.

Menurut Awie, tahun ini juga dia sudah mempunyai beberapa perancangan untuk anak-anaknya demi kebaikan masa depan mereka.

“Saya lebih pentingkan kepada akademik dan minat mereka dalam muzik. Mereka suka muzik dan grafik, jadi itu yang saya nak tumpukan,” katanya.

Menerusi perkahwinan dengan Arni Nazira, Awie mempunyai dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14, manakala perkahwinan dengan Rozana Misbun pula dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Tak pernah tutup pintu hati untuk berkahwin lagi

Tidak sah jika tidak bertanyakan soalan peribadi kepada Awie dan menjawab persoalan ini, dia mengakui belum terfikir mendirikan rumah tangga buat masa ini.

“Saya nak kukuhkan kewangan saya dulu. Saya sebenarnya tak pernah tutup pintu hati untuk berkahwin lagi. Anak saya pun perlukan kasih sayang ibu.

“Jadi, saya kena cari wanita yang mampu menyayangi anak saya sepenuhnya lebih daripada saya. Kalau dia boleh buat begitu, saya akan tatang dia sepenuhnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Awie turut terbabit dalam teater Bikers Kental arahan Nazrul Asyraff yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 23 hingga 31 Januari ini.

Turut berlakon ialah Zizan Razak, Nadia Brian dan Ameerul Affendi.

Baginya ini satu pembukaan yang baik untuk kariernya tahun ini.

“Hujung tahun 2015 ditutup dengan Konsert 30 Tahun Wings yang mendapat sambutan hangat. Sekarang saya terbabit dengan teater Bikers Kental dan seterusnya akan sambung penggambaran filem Bikers Kental 2 pula.

“Selepas itu saya akan fokus pada penerbitan filem dan acara. Apa yang dirancang tahun lalu akan direalisasikan tahun ini. Perbincangan demi perbincangan yang dilakukan sudah ada positifnya dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

“Ada dua projek filem yang bakal dihasilkan dan salah satunya aksi. Idea untuk filem ini dicetuskan oleh saya sendiri manakala skripnya ditulis oleh orang lain,” katanya.

Awie berkata, dia berhasrat menghasilkan filem yang mengangkat seni silat Melayu kepada masyarakat. Malah dia sendiri mempunyai dua gelanggang silat yang dibuka di Sepang, Selangor dan Johor.

“Filem ini akan berteraskan kepada silat Pusaka Gayong Malaysia. Saya sendiri bergelar Khalifah Pusaka Gayong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 12:43 PM