SAMSUNG Galaxy Tab Pro S.
RAZER Nabu Watch.
LENOVO Y900 RE (Razor Edition).
HONOR 5X.
ACER R1.
EHANG 184.
Oleh Afiq Hanif

Pameran Elektronik Pengguna (CES) sentiasa menjadi platform memperkenalkan produk terbaru bagi tahun terbabit apabila ia dianjurkan pada awal tahun.

Pelbagai produk elektronik diperkenalkan dan [email protected] membawakan antara gajet menarik yang bakal disaksikan tahun ini.

1. Samsung Galaxy Tab Pro S

Ia menggabungkan fungsi laptop dalam tablet menggunakan perisian OS Windows 10 yang menakjubkan.

Tablet ini hanya mempunyai tahap kenipisan 6.3mm dengan berat 693g menjadikannya mudah dibawa ke mana saja.

Ia datang dengan kasing papan kekunci penuh selain skrin Super AMOLED 12 inci beresolusi WQHD 2160 x 1440 piksel, mempunyai kamera depan fokus tetap 5MP dan kamera belakang 5MP tanpa flash LED.

Ia mempunyai CPU Intel Core M generasi keenam yang jimat tenaga, dual core berkelajuan 2.2GHz bersama RAM 4GB selain pilihan storan SSD 128GB atau 256GB.

Galaxy Tab Pro S dilengkapi bateri berkapasiti 5200mAh boleh dicas penuh sepantas 2.5 jam dan digunakan berterusan sehingga 10.5 jam.

Samsung dijangka mula menjual Galaxy Tab Pro S di pasaran antarabangsa bermula Februari 2016.

2. Razer Nabu Watch

Razer memperkenalkan jam pintar terbaru mereka, Nabu Watch yang dilengkapi skrin kedua memaparkan notifikasi dari telefon pintar.

Ia membawakan fungsi penuh jam tangan digital yang biasa bersama fungsi pintar berhubung dengan telefon pintar.

Razer membawa penyelesaian kepada ketahanan bateri jam pintar dengan menggabungkan jam tangan digital biasa sebagai fungsi utama dan skrin kedua dengan kebolehan pintar sebagai fungsi kedua.

Skrin utama Razer Nabu Watch membawakan pelbagai fungsi jam tangan biasa seperti paparan berlampu, kiraan detik, jam randik, waktu jam sedunia dan penggera jam.

Waktu di skrin utama ini diselaraskan secara automatik menerusi Bluetooth ke peranti pintar.

Fungsi pintar di skrin kedua Razer Nabu Watch memaparkan notifikasi dari telefon pintar seperti mesej baru, pemantau kecergasan dan komunikasi dengan peranti Nabu yang lain.

Pengguna boleh mendapatkan notifikasi seperti panggilan, teks, e-mel serta aplikasi apabila dihubungkan dengan telefon pintar melalui Bluetooth.

Fungsi pemantau kecergasan menggunakan sensor accelerometer yang terbina di dalam Razer Nabu Watch mengira langkah, jarak perjalanan, pembakaran kalori dan lain-lain melalui aplikasi Nabu.

3. Lenovo Y900 RE (Razor Edition)

Lenovo mendapat kerjasama Razer bagi memperkenalkan dua produk yang mendapat inspirasi dari pengeluar aksesori permainan terbabit dengan dua produk iaitu desktop Lenovo Y900 RE (Razor Edition) bersama monitor lengkung Lenovo Y27g RE.

Komputer Lenovo Y900 RE dibina berdasarkan IdeaCenter Y900 sedia ada dikuasakan CPU Intel Core generasi keenam i7 K-series serta dua kad grafik NVIDIA GTX970.

Untuk memberikan pengalaman bermain lebih menarik, Lenovo turut membekalkan aksesori khas, papan kekunci dan tetikus Razor Chroma.

Razor Chroma mempunyai kesan lampu pelbagai warna yang menjadikan suasana lebih meriah.

Lenovo Y900 RE mempunyai papan induk ATX penuh dengan ruang mencukupi untuk memuatkan unit bekalan kuasa 1000W.

4. Honor 5X

Ia telefon pintar kelas pertengahan menampilkan reka bentuk dan fungsi premium yang dilengkapi pengimbas cap jari.

Telefon pintar ini mempunyai kuasa Qualcomm Snapdragon 615, octa core dengan kelajuan sehingga 1.5GHz selain RAM 2GB dan storan 16GB.

Pada masa sama, ia memiliki tiga slot kad untuk memuatkan satu kad sim nano, satu kad sim mikro dan satu kad memori mikroSD. Kedua-dua slot kad sim ini menyokong rangkaian 4G LTE.

Skrin honor 5X sebesar 5.5 inci dengan resolusi tajam HD penuh 1920 x 1080. Kamera belakang honor 5X menggunakan sensor 13MP F2.0 bersama lensa lebar 28mm dan satu flash LED.

Kamera depan pula 5MP F2.4, menggunakan lensa lebar 22mm dengan saiz sensor sebesar 1.4 mikron.

Ia mempunyai bateri berkapasiti 3000mAh yang beroperasi pada Android 5.1 Lollipop.

5. ACER R1

Acer siri R1 adalah monitor ternipis dengan ketebalan hanya 7mm menampilkan rekaan ZeroFrame apabila paparannya memaksimumkan ruang menjadikan bezelnya hampir tidak kelihatan.

Rekaan ZeroFrame paling sesuai digunakan untuk paparan gabungan pelbagai monitor.

Monitor Acer R1 menggunakan paparan IPS untuk tayangan luas sehingga 178 darjah. Skrinnya boleh dicondongkan antara 5 ke 15 darjah, mengikut kesesuaian pengguna.

Teknologi Acer Flickerless dan Penapis Cahaya Biru mengurangkan tekanan mata dan memberikan lebih keselesaan tontonan.

Monitor Acer R1 juga mesra alam dan bebas merkuri, mendapat pengiktirafan EcoDisplay dan ENERGY Star 6.0.

Monitor Acer siri R1 mempunyai resolusi HD Penuh 1920 x 1080 dan akan datang dalam saiz 21.5, 23, 23.8, 25 dan 27 inci.

6. Ehang 184

Ia menjadi dron pertama mengangkut manusia digelar 184 yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan mempunyai empat cabang dengan lapan bilah kipas di hujungnya.

184 adalah alat berautonomi bererti penumpang hanya perlu memasukkan destinasi dikehendaki dalam aplikasi telefon pintar dan dron itu akan membawanya ke situ.

Kokpitnya kosong dan hanya mempunyai tempat untuk meletakkan tablet atau telefon pintar serta pemegang cawan.

Sekiranya berlaku kecemasan, penumpang boleh menghentikan penerbangan dan mengapung di udara.

EHang 184 - iaitu ‘satu’ penumpang, ‘lapan’ bilah dan ‘empat’ cabang - boleh dilipat dan disimpan jika tidak digunakan.

Dron itu boleh digunakan untuk perjalanan jarak dekat hingga sederhana iaitu sekitar 16 kilometer dengan kelajuan 97 kilometer sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:46 AM
Skip this ad x