LAGU Lazarus dimuat dalam album terbaru, Blackstar dipasarkan 2 hari sebelum meninggal dunia.
Susunan Riadz Radzi


‘Look up here, I’m in heaven. I’ve got scars that can’t be seen.’

Inilah sebahagian lirik lagu Lazarus nyanyian David Bowie yang disifatkan sebagai ‘hadiah perpisahan’ buat peminatnya sebelum dia meninggal dunia akibat kanser di New York, Amerika Syarikat, kelmarin.

Ironinya, klip video lagu terbabit mula ditayangkan tiga hari sebelum penyanyi legenda Britain berusia 69 tahun itu meninggal dunia. Lazarus dimuatkan dalam album terbarunya, Blackstar yang dipasarkan dua hari sebelum dia meninggal dunia.

Klip video berkenaan menunjukkan Bowie terlantar di atas katil hospital dengan kedua-dua matanya dibaluti kain manakala tubuhnya menggigil ditutup selimut.

Bowie menghasilkan lagu terbabit seolah-olah untuk mengucapkan ‘selamat jalan’ buat peminatnya. Dia tahu dia akan ‘pergi selama-lamanya’ selepas bertarung dengan penyakit kanser yang dirahsiakannya selama 18 bulan.

Selain Lazarus, album berkenaan memuatkan enam lagi lagu iaitu Blackstar, Tis a Pity She Was a Whore, Sue (Or in a Season of Crime), Girl Loves Me, Dollar Days dan I Can’t Give Everything Away.

Ketujuh-tujuh lagu berkenaan ditulis Bowie dengan memberi gambaran mengenai apa yang dihadapinya ketika itu.

Penerbit album berkenaan, Tony Visconti dipetik sebagai berkata, Bowie sudah tahu penyakit kansernya tidak boleh sembuh.

“Blackstar ialah hadiah perpisahannya. Bowie menjadikan kehidupan dan kematiannya sebagai satu ‘kerja seni’,” katanya.

Blackstar ialah album ke-25 Bowie dan satu-satunya album yang tidak memaparkan gambar penyanyi itu pada kulit album. Kali ini, ia hanya meletakkan gambar bintang berwarna hitam (blackstar).

Sementara itu, kematian Bowie membuatkan peminat berpusu-pusu mendapatkan album terakhirnya itu.

Harga versi piring hitam album itu meningkat hingga 150 pound sterling (RM960) di eBay manakala jualan cakera padat turut meningkat lima kali ganda.

Dalam masa sama, album kompilasi The Best of Bowie yang dipasarkan pada 2002 turut habis dijual di laman web Amazon dan WHSmith.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:52 AM