PELBAGAI ragam boleh dilihat setiap kali bermula sesi persekolahan. - Gambar hiasan
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Setiap kali sesi persekolahan bermula, adegan pelajar tahun satu yang menangis teresak-esak malah ada yang meraung sambil dipujuk oleh ibu bapa masing-masing menjadi satu pemandangan biasa.

Situasi itu tentu dapat difahami apatah lagi ia pengalaman baru buat kanak-kanak yang pertama kali menjejak kaki ke alam persekolahan.

Jika sebelum ini mereka lebih banyak menghabiskan masa berkepit dengan ibu bapa, kali ini mereka perlu berdikari berada di dalam bilik darjah belajar bersama rakan.

Malah setiap kali sesi persekolahan bermula, pasti ada deretan kenderaan yang diletakkan di bahu jalan bersesak-sesak kadangkala lebih seminggu.

Semuanya gara-gara ibu bapa mahu menemankan anak mereka yang masih berada dalam keadaan gemuruh dan takut terpisah lama atau tidak dapat melihat kelibat ibu bapa setiap masa.

Ibu bapa sanggup ‘bertapa’ di hadapan kelas semata-mata tidak mahu anak mereka menangis selain memberi motivasi kepada anak lebih tabah belajar di dalam kelas.

Pakar motivasi dan jurulatih keibubapaan SmartParents.com.my, Zaid Mohamad berkata, dia sesekali tidak bersetuju dengan cara ibu bapa yang menemankan anak mereka sehingga seminggu di sekolah.

Menurutnya, jangka masa paling lama disarankan untuk ibu bapa menunggu anak masing-masing di luar bilik darjah hanyalah satu hari.

“Lebih baik sekiranya ibu bapa serahkan terus anak ke dalam jagaan dan seliaan sekolah. Ibu bapa perlu yakin guru sememangnya sangat terlatih dalam menangani pelbagai kerenah murid.

“Namun jika ibu bapa terus berada di pekarangan sekolah, ini akan menyusahkan tugas mereka. Guru mungkin takut untuk bertegas dengan murid kerana ibu bapa memerhatikan.

“Fenomena itu digelar sebagai ‘keresahan untuk berpisah’. Malah dalam buku saya bertajuk ‘Ibu Bapa Bijak, Anak Hebat’, saya membincangkan isu ini dengan panjang lebar,” katanya.

Zaid berkata, sebagai ibu bapa yang bekerja, akan sampai masanya kita perlu meninggalkan anak kita di tangan penjaga lain.

Keadaan itu tidak dinafikan akan mencetuskan tekanan yang tinggi bagi kedua-dua pihak iaitu ibu bapa dan anak terutama pada peringkat permulaan.

“Tekanannya lebih tinggi jika kanak-kanak itu tidak boleh dikawal tangisannya ataupun tidak mahu masuk ke sekolah.

“Mujurlah terdapat banyak cara untuk kita mencegah perkara ini daripada berlaku, antaranya sentiasa berkomunikasi seawal mungkin yang dia akan berada di sekolah ketika anda ke tempat kerja dan menghantarkannya juga ke sekolah walaupun dia memprotes selain galakkan dia bercakap mengenai apa yang disukai di sekolah,” katanya.

Menurut Zaid, bersikap jujur dan berterus terang dengan anak mengenai kepentingan bersekolah dan jangan sekali-kali cuba memberi alasan yang lain atau menakut-nakutkannya.

Selain itu, katanya, ibu bapa tidak perlu meluang­kan terlalu banyak masa ketika berpisah. Cukup hanya dengan memberikan ciuman dan pelukan sebelum ucapkan selamat tinggal.

“Beredar segera dan jangan berpatah balik walaupun anak anda mula menangis. Jika anda sudah bersusah payah memilih dan menilai kualiti sekolah itu dengan sebaik-baiknya, percayalah kepada mereka untuk melakukan tugas dengan sebaik mungkin.

“Kesan menunggu mereka di sekolah terlalu lama adalah sangat negatif. Ia memberi isyarat seolah-olah kita tidak mempercayai sekolah atau lebih malang lagi, anak kita sendiri.

“Anak juga akan rasa kurang berdikari dan takut untuk mencuba. Ini juga petanda ibu bapa mungkin terlalu mengongkong dalam aspek kehidupan yang lain juga.

“Ringkasnya, ia tidak bagus untuk diamalkan dan ibu bapa perlu yakin dan berani untuk ‘membebaskan’ anak berdikari dan menempuh kehidupan tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:56 AM