AG dan Fara Fauzana selaku pengacara.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Populariti program berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) terbukti apabila lebih 80,000 pengunjung hadir menyaksikan Festival AJL30 yang diadakan di Dataran 1 Malaysia, Pantai Klebang, Melaka, Sabtu lalu.

Kemunculan finals AJL30 yang akan berlangsung pada 24 Januari ini antaranya Bunkface, Kaka Azraff, Dayang Nurfaizah dan Drama Band nyata menghangatkan suasana.

Ia dimeriahkan dengan persembahan bekas juara AJL seperti Nash dan Rahmad Mega.

Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9 Sherina Nordin berkata, acara ini diadakan sebagai hadiah buat peminat dan penyokong industri muzik tanah air.

“Festival AJL30 adalah hadiah TV3 sempena tiga dekad AJL bertapak di hati peminat muzik tanah air dan penonton setia kami.

“Ini kali pertama kami menganjurkan festival seumpamanya berbanding promosi jelajah yang pernah dilakukan sebelum ini. Pasti ada kejutan dan kelainan di AJL30 untuk mereka sama-sama nantikan,” katanya.

Malam kemuncak AJL30 akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 24 Januari ini dan bersiaran secara eksklusif di TV3 serta secara ‘live streaming’ di portal Tonton dan di laman web AJL.

Bermula seawal jam 2 petang, pentas Festival AJL menampilkan beberapa artis antaranya Tasha Manshahar dan Syed Shamim, Azmil Karim, Ronnie Hussein, Sarah Fazny, Monalyssa, SIR dan Masweera.

Di sebelah petangnya pula, tapak festival dihangatkan dengan kehadiran Harian Metro Rovers dan Hot FM Zoomers yang mengadakan beberapa aktiviti menarik bersama pengunjung.

Sekitar jam 6 petang, siaran langsung program khas Muzik Muzik Sakan AJL30 turut bersiaran secara langsung di pentas utama.

Pada sebelah malam pula, berlangsung acara kemuncak iaitu Konsert Festival AJL30 yang juga disiarkan secara langsung di TV3. Ia mengimbas kembali zaman kegemilangan beberapa nama besar yang pernah mewarnai pentas AJL sepanjang zaman.

Pentas Konsert Festival AJL30 dibuka dengan persembahan ratu etnik kreatif, Noraniza Idris menerusi lagu Dikir Puteri dan Hala Timur.

Noraniza seterusnya sekali lagi menghangatkan pentas bersama anak didiknya, Ihab Ismail menerusi lagu baru Puncak Gapura.

Pentas seterusnya dihangatkan dengan persembahan mantap Kaka Azraff dengan lagu Janji Manismu nyanyian asal Aishah yang pernah dinobatkan sebagai Juara Lagu 1990.

Kaka seterusnya menyampaikan medley dua lagu hitnya, Bawa Daku Pergi dan Terpulanglah yang ternyata membuatkan semua penonton terpaku.

Menerima tepukan gemuruh daripada penonton, pentas Konsert Festival AJL30 seterusnya digamatkan dengan kehadiran juara AJL1991, Rahmad Mega yang me­nyampaikan lagu Takdir dan Waktu sebelum mendapat sorakan menerusi lagu Nina Karina serta Bayangan Gurauan.

Giliran membuat persembahan di pentas seterusnya diberikan kepada Drama Band yang muncul dengan lagu Cerita Dia dan Babak Pertama secara medley.

Drama Band seterusnya menyampaikan rendisi sendiri lagu Lagu Untukmu, nyanyian asal Meet Uncle Hussain yang pernah dinobatkan sebagai Juara Lagu di AJL23.

Kemunculan Dayang Nurfaizah di pentas dengan menyampaikan lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian asal Hafiz Suip juga turut mendapat tepukan gemuruh penonton.

Tidak cukup dengan itu, Dayang turut mempersembahkan lagu berhantunya, Di Pintu Syurga.

Nash juga turut muncul membuat persembahan menerusi empat lagu hit sepanjang zamannya iaitu Pada Syurga Di Wajahmu, Ku Di Halaman Rindu, Tiada Lagi Kidungmu dan Kamelia nyanyian asal Sweet Charity serta Ebiet G Ade.

Konsert diakhiri dengan per­sembahan Bunkface menerusi lagu yang dinobatkan sebagai Juara Lagu 1994, Tanya Sama Itu Hud-Hud nyanyian asal Datuk M Nasir serta medley Darah Muda dan Situasi.

Turut mencuri perhatian adalah kemunculan pengasas produk kecantikan Vida Beauty Cosmetics Datuk Seri Vida yang juga penaja utama AJL30.

Selain acara pentas, Festival AJL30 turut memberikan peluang kepada pengunjung untuk membeli barangan eksklusif AJL30 seperti kemeja-T, kalendar dan kompilasi poster mini 12 finalis AJL30.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:58 AM