Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Kementerian Luar melalui perwakilan Malaysia belum menerima sebarang notis konsular secara rasmi dari Indonesia berhubung penangkapan 200 nelayan Malaysia yang didakwa menangkap ikan secara haram di perairan negara berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Kedutaan Besar Malaysia sudah menghubungi Kementerian Luar Negeri Indonesia untuk mendapatkan pengesahan terutama mengenai maklumat pengenalan diri dan lokasi penahanan nelayan Malaysia.

"Sekiranya mereka disahkan rakyat negara ini, bantuan konsular sewajarnya akan dihulurkan.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga tidak menerima sebarang notis penangkapan nelayan Malaysia daripada pihak berkuasa Indonesia.

"Justeru, Kementerian Luar dan APMM sedang memantau perkembangan mengenai isu penahanan nelayan Malaysia ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, beberapa media tempatan melaporkan pihak berkuasa Indonesia menahan 200 nelayan Malaysia yang didakwa menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia.

Menurut laporan berkenaan, Setiausaha Kabinet Andi Widjajanto menyatakan penangkapan itu sebahagian daripada operasi mencegah penangkapan ikan haram oleh pihak berkuasa Indonesia bermula sejak 17 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:43 PM
Digital NSTP Subscribe