Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Anuar Othman (tengah) memegang satu daripada lima senapang patah yang dirampas. - Foto WAN KEMAT

Temerloh: Polis menahan seorang lelaki serta merampas lima senapang patah dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Bukit Damar, dekat Lanchang, semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Anuar Othman berkata suspek berusia 38 tahun yang tiada pekerjaan tetap itu dipercayai mengedar dan menjual senapang patah untuk wang segera.

"Suspek ditahan dalam Op Sarang yang dijalankan bermula 3 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam. Hasil pemeriksaan kami menemui beg hitam di dalam almari di ruang tamu rumah mengandungi lima pucuk senapang patah dan dua tali pinggang sarung peluru serta 26 butir peluru hidup.

"Empat daripada senapang patah itu dipercayai buatan sendiri manakala sepucuk lagi mempunyai nombor siri. Polis sedang mengesan pemilik senapang bernombor siri itu," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Senjata 1960 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 9:58 PM