Oleh Aziman Rosdi

Sungai Buloh: Penyerang Argentina Diego Diellos (gambar) menjadi taruhan utama PKNS FC dalam kempen Liga Malaysia musim ini selepas bekas pemain kelab Sportivo Belgrano itu memikat pengendali E Elavarasan.

Pemain berusia 22 tahun itu bakal berdepan tugas mencabar untuk mengisi tempat Patrick Wleh Ronaldinho yang kini menyarung jersi Selangor.

Menurut Pengurus PKNS FC Mahfizul Rusydin Abd Rashid, biarpun Diellos tidak hadir dengan reputasi besar namun dia menepati ciri diinginkan Elavarasan.

“Diellos baru saja bersama pasukan, kita lihat dia ada ciri-ciri yang kita mahukan. Cuma apa yang kita harapkan dia dapat membentuk gandingan baik dengan pemain lain. Setakat ini Elavarasan berpuas hati dengan prestasi Diellos,” katanya.

Selain Diellos, PKNS FC turut menandatangani kontrak dengan pemain tengah Uzbekistan Kamoludin Morzuev bagi melengkapkan kuota empat pemain import mereka.

Sebelum ini mereka mengekalkan dua pemain Argentina Gabriel Guerra (penyerang) dan Gonzalo Soto (pertahanan) yang sudah bersama pasukan sejak musim lalu.

Menurut Mahfizul dengan persediaan pasukan kali ini, beliau percaya anak buah Elavarasan mampu memburu kedudukan terbaik dalam saingan Liga Perdana selain dua lagi kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia.

“Kita mensasarkan kedudukan terbaik dalam liga bagi mencari slot layak ke Liga Super semula. Selain itu dengan perubahan format Piala FA dan Piala Malaysia, saya yakin persaingan akan menjadi lebih hebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 8:25 AM