NIZAM yakin Boboiboy The Movie dapat sambutan.
POSTER Boboiboy The Movie.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Buat pertama kali, syarikat produksi Animonsta Studios membawa siri animasi nombor satu tanah air Boboiboy ke layar perak yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 3 Mac ini.

Filem berdurasi satu jam 40 minit itu akan menampilkan kisah berbeza daripada siri televisyen.

Pengarah dan penulis skrip Boboiboy Nizam Razak berkata, Animonsta Studios merancang menerbitkan Boboiboy dalam bentuk filem sejak awal penubuhan lagi.

“Filem ini bukan kesinambungan siri televisyen kerana mempunyai jalan cerita tersendiri. Peminat sudah tentu teruja kerana Boboiboy dan gengnya ada kuasa baru dengan beberapa watak baru,” katanya.

Mengetengahkan mengenai persahabatan, Boboiboy The Movie turut memperkenalkan beberapa watak baru iaitu kumpulan makhluk asing Tengkotak dan robot purba Klamkabot.

Selain itu, Boboiboy dan rakan adiwira seperti Gopal, Ochobot, Yaya, Ying dan Fang dibekalkan dengan kuasa baru.

Nizam yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios berkata, filem terbabit juga akan ditayangkan di Indonesia pada 13 April ini.

“Kami yakin Boboiboy The Movie dapat memuaskan penonton kerana memaparkan aksi hebat dan pengembaraan.

“Ia bukan saja sesuai untuk kanak-kanak, tetapi penonton dewasa pasti menggemari filem ini,” katanya.

Menurutnya, beberapa babak dalam Boboiboy The Movie adalah inspirasi daripada animasi Jepun dan Barat.

“Selain itu, kami turut membuat beberapa kajian antaranya bagaimana dapat menyentuh emosi penonton,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam berkata, Boboiboy The Movie akan diterbitkan dalam dua trilogi dan mereka sudah mempunyai idea untuk siri seterusnya.

Filem Boboiboy The Movie memulakan kisahnya dengan Adu Du menyambut kedatangan kumpulan Tengkotak ke bumi.

Bagaimanapun, kehadiran kumpulan itu di bumi sebenarnya untuk mencari sfera berkuasa luar biasa purba yang dipercayai tersorok di satu lokasi.

Kumpulan terbabit kemudian melarikan Ochobot bagi membantu mereka menjejaki lokasi kuasa itu berada.

Dengan bantuan Papazola, Adu Du dan Probe, Boboiboy bersama rakannya berusaha menyelamatkan Ochobot, sekali gus menghalang perancangan kumpulan Tengkotak.

Sementara menunggu filem Boboiboy The Movie di pawagam, saksikan siri televisyen Boboiboy di saluran TV3 pada setiap Selasa hingga Jumaat, jam 5 petang. Manakala siaran Sabtu pada jam 10 pagi.

Maklumat lanjut mengenai filem Boboiboy The Movie boleh melayari laman web www.boboiboythemovie.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 9:54 AM