NAJIB Asaddok.
KENANGAN bersama peserta seminar Roket Emel.
KELUARGA bahagia Najib.
NAJIB, antara usahawan Internet berjaya di negara ini
Oleh Rahayu Mohd Salleh

Malu berniaga memang tidak pernah terselit dalam catatan liku hidupnya. Pada usia kanak-kanak, dia pernah menggoreng sendiri kacang dibantu oleh neneknya, untuk dijadikan bahan jualan di sekolah.

Keluarganya bukan orang senang. Tinggal bersama datuk dan nenek, ayahnya yang mencari nafkah keluarga daripada hasil kerja kebun meninggal dunia ketika dia baru berusia 12 tahun manakala si ibu, Junaidah Abdullah, pula hanya bekerja sebagai operator kilang.

Anak sulung enam beradik ini sedar dia menggalas tugas besar untuk membantu keluarga lantas sejak kecil, Najib Asaddok yang berdarah campuran Bugis dan Cina ini mahu melakukan sesuatu untuk membantu keluarga.

“Minat saya memang sentiasa terarah kepada bidang perniagaan. Apatah lagi apabila saya sendiri bagaikan bersemangat melihat saudara-mara yang menjalankan perniagaan masing-masing.

“Namun hakikatnya pada pandangan saya, mata pelajaran di sekolah tidak begitu menyokong anak muda untuk menceburi bidang perniagaan,” kata usahawan yang terkenal di bidang perniagaan Internet khususnya pemasaran menerusi e-mel ini.

Apapun, tekad anak kelahiran Pontian, Johor ini memang tinggi. Bayangkan, daripada keputusan Bahasa Inggerisnya yang berpangkat D pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sedangkan mata pelajaran lain A, dia mampu muncul pelajar terbaik di sekolahnya pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum diterima menyertai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar.

Lantas tidak hairanlah jika semangatnya yang membara dalam bidang pelajaran juga menyerlah dalam bidang perniagaan. Lantaran itu, sewaktu di tingkatan satu lagi, dia sudah menjadi ahli koperasi dan waktu rehatnya banyak dihabiskan membuat jualan di koperasi. Manakala sewaktu di MRSM pula, jiwanya bagaikan ‘terisi’ dengan mata pelajaran Keusahawanan serta Kelab Usahawan yang disertainya apatah lagi Cikgu Saidon di sekolah itu kian menyuntik inspirasi untuknya meneroka bidang perniagaan.

Sewaktu mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Malaysia, dia juga mencari duit sendiri dengan mengambil upah memasang komputer serta khidmat lain seperti servis dan format. Malah, ketika itu jugalah dia mula terbabit dalam perniagaan jualan langsung yang lebih menjurus kepada peruncitan.

Mengikuti pengajian dalam jurusan kejuruteraan yang dianggap glamor ketika itu hakikatnya tidak mencambah minatnya dalam bidang berkenaan. Cintanya ternyata lebih kepada bidang perniagaan, malah pengalaman berniaganya pula kian melebar selepas dia melangkah keluar dari kampus. Mulai 2005 hingga 2008, pembabitannya dalam bidang pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dengan menjual penapis air diakui banyak menyediakan pengalaman berharga buatnya terutama apabila dia menerima tunjuk ajar daripada jurujual berpengalaman yang sangat memahami selok-belok teknik jualan membabitkan produk mahal.

“Waktu itu saya langsung tak tahu mengenai pemasaran e-mel. Hendak buat laman web atau blog, semuanya saya tak tahu. Namun pada 2007, buku tulisan Irfan Khairi berjudul Rahsia Jutawan Internet Terbongkar benar-benar menyuntik inspirasi.

“Sejak itu saya menjadi pembeli ebook setia. Apa saja topik ebook mengenai cara menjalankan perniagaan di Internet saya beli termasuk cara membuat laman web, affiliate, pemasaran, cpanel dan pelbagai topik lain yang semuanya saya pelajari sendiri,” katanya.

Apapun, bukan sekelip mata juga dia berjaya membuat jualan di Internet kerana pada awal pembabitannya dalam bidang perniagaan maya itu, dia tidak mencatatkan sebarang jualan pun. Namun Najib sedar, kuasa pemasaran yang harus diterokai untuk bersaing terutama selepas mendirikan rumahtangga pada 2008, semangatnya untuk mengukuhkan bidang perniagaan kian menebal.

“Sebenarnya ibu pernah berbincang dari hati ke hati dengan saya mengapa saya ‘tak bekerja’. Harapan ibu tentu sekali mahu melihat anaknya belajar rajin-rajin kemudian mendapat kerja yang bagus. Makan gaji.

“Tetapi saya yakinkan ibu supaya beri saya peluang untuk berniaga dan saya hanya perlukan doa ibu untuk berjaya. Orang kata menjalankan perniagaan ada risiko, tetapi bekerja makan gaji pun serupa, tetap ada risiko misalnya dibuang kerja,” katanya.

Daripada dropship ke seminar

Bermula dengan menjual produk aksesori diri, cenderahati juga baju-T menerusi e-Bay dengan konsep dropship, Najib yang berbekalkan komputer buruk di rumahnya berjaya mencatat jualan AS$1,000 selepas tiga bulan berniaga dan seterusnya melonjak ke AS$8,000 sebulan.

Dari situ, dia juga sedar harus mempunyai tapak perniagaannya sendiri untuk menjana hasil jualan yang lebih besar. Lantas pada 2011, dia mula mengadakan kelas untuk memberikan tunjuk ajar penggunaan e-Bay sebagai platform penjualan produk sama ada menerusi dropship (peniaga tidak memegang stok sebaliknya hanya menjalankan pemasaran bagi pihak pembekal) atau penyimpanan stok.

Selain memasarkan produk fizikal, pada tahun itu juga Najib melebarkan perniagaannya menerusi produk digital lantas lahirlah produk ebook pertamanya berjudul Panduan Lubuk Rahsia Dropship. Dari situ juga dia melihat kepentingan pangkalan data e-mel apabila seseorang itu mahu melancarkan produk.

“Saya melihat guru perniagaan Internet sama ada tempatan atau luar negara bergantung kepada pangkalan data atau pemasaran e-mel untuk menjual produk masing-masing. Bagi saya, pemasaran menerusi e-mel ini mampu mengubah pelanggan paling degil kepada pelanggan setia kita.

“Dalam mana-mana perniagaan sekalipun sama ada ia dijalankan secara dalam talian (online) atau offline, ia harus mempunyai sistem pemasaran e-mel,” katanya yang turut meneroka pemasaran menerusi Facebook (FB) dan affiliate, malah pada 2012 dan 2013, dia pernah menjuarai cabaran affiliate dengan meraih komisen paling tinggi untuk satu produk.

Di samping itu, menurutnya, penjenamaan harus dititikberatkan dalam satu-satu perniagaan.

“Meskipun menjual produk orang lain, kita tak seharusnya ada perasaan rendah diri sebab tiada produk sendiri. Sebenarnya, ramai yang sudah membuktikan kita tak perlu ada produk sendiri untuk berjaya,” katanya yang kini popular dengan seminar Roket Emel yang dimulakan sejak 2013.

Seminar yang memberi bimbingan menyeluruh kepada peserta terdiri daripada bakal usahawan dan usahawan sedia ada yang terbabit dalam perniagaan konvensional atau dalam talian itu menghimpunkan peserta di lokasi latihan di Johor dan Kuala Lumpur.

“Untuk meneroka bidang perniagaan, kita harus ada ilmu kerana jika anda tidak bersedia untuk melabur bagi mendapatkan ilmu, anda sebenarnya bersedia untuk melebur dalam pemasaran.

“Bagi mereka yang pernah gagal semasa memulakan perniagaan dalam talian, bagi saya perniagaan ini bukan sesuatu yang terlalu mudah, tetapi ia juga tak terlalu susah. Nasihat saya, dapatkan mentor yang pakar dalam bidang yang mahu kita pelajari bagi mengurangkan risiko gagal dan dapat jalan pintas untuk berjaya.

“Sebab itulah sehingga kini saya komited membantu usahawan menerusi seminar Roket Emel. Alhamdulillah sudah ribuan usahawan berjaya dibantu dan dibimbing secara langsung,” katanya.

Mengenai dunia pemasaran dan perniagaan dalam talian untuk tempoh lima tahun akan datang, menurutnya, dulu rakyat Malaysia mendapatkan maklumat daripada akhbar, televisyen atau radio namun trend sekarang sudah berubah. Mengikut statistik, pengguna Internet di Malaysia kini berjumlah 12 juta orang.

“Pengguna banyak bergantung kepada Internet dan media sosial justeru, ia mewajibkan setiap usahawan membuat pemasaran secara dalam talian. Tidak mustahil satu hari nanti pemasaran dalam talian akan menjadi cara paling penting berbanding medium lain,” katanya yang bakal melancarkan buku sulungnya berjudul Roket Emel pada 23 Januari ini.

Buku yang mengambil masa hampir tiga minggu untuk disiapkan itu mengisahkan liku kehidupannya sebagai anak yatim dengan ibunya yang menyara keluarga daripada pekerjaan sebagai operator kilang, namun berupaya membina empayar perniagaan Internetnya sendiri.

Ia turut mengetengahkan strategi dan prinsip perniagaannya selain topik penting membabitkan pemasaran serta kisah inspirasi pelajarnya yang berjaya menghasilkan jualan antara lima hingga tujuh angka hasil bimbingannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 11:35 AM