PETRON melancarkan petrol Blaze 100 Euro 4M. FOTO Siraj Mohd Zaini
PETRON melancarkan petrol Blaze 100 Euro 4M. FOTO Siraj Mohd Zaini
Oleh Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Petron Malaysia melancarkan petrol Blaze 100 Euro 4M yang juga satu-satunya minyak premium di negara ini, hari ini.

Ketua Jabatan Dagangan Runcit Petron, Faridah Ali berkata, Blaze 100 Euro 4M dirumuskan dengan Tri-Activ, satu formula yang memberikan kuasa, perlindungan enjin dan kilometer yang lebih baik.

Menurutnya, bahan api berprestasi tinggi itu menawarkan tindak balas enjin yang sangat baik serta kuasa dan pecutan optimum.

"Petron Blaze 100 Euro 4M turut menawarkan pembersihan enjin yang luar biasa untuk mengekalkan kecekapan enjin dan penjimatan bahan api lebih baik.

"Kandungan oktana yang tinggi dalam Blaze 100 Euro 4M juga memberikan kuasa enjin yang sukar digambarkan dan menyerlahkan potensi untuk kebanyakan kenderaan," katanya ditemui selepas majlis pelancaran petrol terbaru berkenaan di Stesen Petron Batu 3, dekat sini.

Majlis dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Faridah berkata, pelancaran petrol itu adalah sebahagian daripada janji Petron untuk memperkenalkan bahan api yang inovatif kepada pengguna jalan raya di negara ini.

Sebagai permulaan, Blaze 100 Euro 4M boleh didapati di lapan stesen minyak di Lembah Klang dan Johor dengan harga RM2.80 seliter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 3:13 PM