ELIZAD mengerjakan ibadah umrah selama dua minggu bersama suami.
ELIZAD mengerjakan ibadah umrah selama dua minggu bersama suami.
Oleh Ramlah Zainal


Tiada yang lebih bermakna dalam hidup pelakon Siti Elizad apabila dapat mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah dengan suaminya, Shamsul Baharin Rahman, 43, pada tanggal 1 Disember lalu. Pasangan ini mengerjakan ibadah umrah selama dua minggu.

Bagi bintang utama drama bersiri Teman Lelaki Upahan dan Dia Isteri Luar Biasa ini, ia bagaikan hadiah ulang tahun pertama perkahwinan mereka yang diraikan lebih awal.

“Sudah lama saya merancang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah dan baru sekarang kesampaian. Sebaik saja berumah tangga, saya percaya inilah masa terbaik untuk mengerjakan ibadah umrah bersama suami.

“Alhamdulillah, urusan ibadah kami dipermudahkan Allah sepanjang di sana. Kali pertama melihat Kaabah, air mata saya menitis kerana kagum dengan kebesaran-Nya.

“Selain berdoa semoga kami cepat dikurniakan cahaya mata, saya juga berharap kami dijemput untuk menjadi tetamu Allah sekali lagi,” katanya.

Menyentuh soal cahaya mata, pemilik nama sebenar, Siti Elizad Mohd Sharifuddin ini mengakui sudah bersedia bergelar ibu selepas lapan bulan berumah tangga.

“Suami saya berusia 43 tahun, kenalah cepat ada anak. Kami tidak kisah soal jantina kerana apa yang lebih penting anak sihat dan cukup sifat. Kalau dapat seorang anak pun jadilah kerana kehadirannya melengkapi kebahagiaan rumah tang–ga kami.

“Kami tidak merancang cuma belum ada rezeki lagi untuk menimang zuriat. Hasil perkahwinan terdahulu suami saya mempunyai dua anak,” katanya.

Sesibuk manapun merencana karier seni, Elizad meletakkan suami sebagai keutamaan dalam hidupnya.

“Rumah tangga kami bahagia. Rutin hidup saya bermula selepas Solat Subuh. Selalunya, selepas menyiapkan sarapan dan keperluan suami yang akan ke tempat kerja, barulah saya bersiap untuk ke lokasi penggambaran pula.

“Kalau tidak terbabit dengan penggambaran, kami meluangkan masa bersama melakukan pelbagai aktiviti kegemaran termasuk permotoran,” katanya.

Suami tidak letak syarat

Selepas kembali dari Tanah Suci Makkah, Elizad rancak memenuhi undangan berlakon seperti biasa.

Malah, dia mengakui bertuah kerana suami sentiasa merestui minatnya dalam bidang seni.

“Sebelum berkahwin, suami sudah tahu saya berkecimpung dalam bidang lakonan. Dia tidak letak sebarang syarat dan mengizinkan saya terus berlakon.

“Pun begitu saya kenalah pandai jaga namanya dan keluarga kedua belah pihak,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan menolak babak bersentuhan dalam drama selepas ini, pelakon filem Coverina ini menidakkannya.

“Saya tidak pernah letak sebarang syarat kepada mana-mana pengarah dan produser.

“Pada masa sama, pihak stesen televisyen juga sudah tidak membenarkan babak yang keterlaluan dalam drama. Kalau babak suami isteri pun hanya berbual saja di atas katil dan tidak ada babak panas pun,” katanya.

Terbaru, Elizad selesai menjalani penggambaran drama Dendam Manisa yang bakal bersiaran di Slot Cerekarama TV3 pada Februari ini.

“Saya juga akan terbabit dengan penggambaran drama bersiri untuk Slot Samarinda bergandingan dengan Adi Putra selaku teraju utama tidak lama lagi.

“Drama bersiri lakonan saya, Aku Pilih Kamu kini bersiaran di Slot Samarinda TV3,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 5:01 AM