ANTARA produk anyaman yang dihasilkan Ishak.

Daripada seraut halus rotan dipintal silang-menyilang bertindan sulam, ia kemudian membentuk produk hiasan rumah dan kegunaan harian.

Lazimnya, seni anyaman rotan menampilkan kepakaran wanita yang terkenal dengan kehalusan kerjatangan.

Namun, di tengah perkampungan Bukit Piatu, Melaka, Ishak Kassim, 56, diiktiraf memiliki bakat luar biasa dalam kraf anyaman itu.

Lebih dikenali dengan panggilan Nan Bakul dalam kalangan penduduk tempatan, Ishak bukan nama baru dalam industri, sebaliknya hampir 30 tahun mengabdikan diri menghasilkan pelbagai karya dan produk rotan.

“Persepsi ketika itu anyaman rotan hanya layak disertai wanita, tapi saya enggan mengalah sebaliknya menunjukkan kesungguhan untuk belajar sekali gus bergelar tukang anyam mahir.

“Bahkan, ibu turut mempersoalkan sama ada saya mampu menyara hidup dengan menganyam atau sebaliknya.

“Ia membuatkan saya banyak berfikir dan dari situ timbul idea untuk menjadi tenaga pengajar pula,” katanya yang hingga kini banyak menyumbangkan bakti sebagai tenaga pengajar bagi latihan jangka pendek anyaman rotan selain dilantik menjadi jurudemonstrasi untuk promosi bergerak Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka.

Sekian lama bertapak dalam industri, Ishak mahir menelah cita rasa dan aliran semasa industri anyaman rotan tempatan.

Sebelum ini pencinta seni rotan menyanjungi reka corak dan motif tradisional meliputi pucuk rebung, siku keluang, mata punai, tulang belut, sisik ikan, teknik kelarai serta teknik jalinan satu, dua atau tiga.

Demi permintaan semasa, Ishak cuba menyisipkan elemen kontemporari dalam rekaannya.

Sentuhan kontemporari diperlihatkan menerusi pe–ngenalan motif geometri seperti bentuk bulat, bujur, segi tiga, segi empat, heksagon, oktagon, bentuk D selain aplikasi bentuk bijirin, kekacang dan angka lapan yang lebih menambah rencah reka corak tradisi.

“Terjemahan kontemporari juga dipersembahkan menerusi aliran warna semasa sekali gus mengangkat produk ini dalam kelasnya tersendiri.

“Apapun, saya tetap mempertahankan keunggulan anyaman rotan warisan nenek moyang terdahulu yang menampilkan kehalusan jalinan kelarai, teknik menganyam selain warna semula jadi ,” katanya yang kini memiliki empat pekerja tetap dan bersedia menyiapkan tempahan pelanggan dari seluruh negara.

Bermatlamat meluaskan pasaran hingga ke luar negara, Ishak berani meneroka penggunaan peralatan moden di samping mengambil risiko menyelitkan bahan mentah lain dalam penghasilan krafnya.

Penggunaan peralatan moden berupaya mempercepatkan proses pembuatan namun pada masa sama, kualiti dan kehalusan kraf anyaman rotan tetap dipertahankan.

Sementara itu, kombinasi bahan lain antaranya kayu, logam, seramik, batik dan mengkuang mampu memberi kepelbagaian dan menjimatkan kos pengeluaran.

Pada masa sama memberi peluang pelbagai lapisan masyarakat menjadikan kraf rotan sebahagian koleksi berharga.

Diakui pakar dalam menghasilkan bakul berkat iaitu bekas menampung cenderamata untuk golongan kenamaan, produk lain yang turut memikat selera penggemar anyaman rotannya termasuk bakul telur, bakul dobi, tudung saji dan bakul kucing.

Dalam sekian banyak, bakul berkat karyanya diiktiraf memiliki nilai seni tinggi dan ia dibuktikan menerusi kejayaannya muncul naib johan dalam Pertandingan Kraf Rotan anjuran UNESCO (Asia Pasifik) yang diadakan di ibu negara pada Mac 2003.

Empat tahun kemudian iaitu pada 2007, Ishak sekali lagi dipilih menjuarai bidang anyaman rotan dalam pertandingan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bukan setakat itu, hasil karyanya turut merentas dunia apabila dipelawa menyertai pameran kraf di luar negara seperti Vietnam, Bangkok, Kuwait, Turki, Azerbaijan malah London.

“Produk anyaman kita dipandang tinggi masyarakat luar, bahkan mereka begitu beria-ia ingin mempelajari proses, teknik pembuatan serta bahan yang lazim digunakan dalam penghasilan produk kraf ini,” katanya yang pernah diberi peluang mempamerkan bakul berkatnya di gedung beli-belah Harrods, London ketika Promosi Kraf Malaysia pada tahun 2009.

Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 5:02 AM