Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemain nombor lima dunia dari Mesir Nour El Sherbini (gambar) melakarkan kejutan apabila menewaskan pemain pilihan Amanda Sobhy pada perlawanan akhir Kejohanan Juara-Juara JP Morgan.

Paling manis kemenangan itu gelaran Siri Dunia PSA yang pertama buat pemain berusia 21 tahun di kejohanan menawarkan hadiah wang tunai termahal dalam penganjuran skuasy, AS$150,000 (RM663,434).

Dalam laluan Nour ke final pemain berusia 21 tahun itu mudah menjinakkan pemain negara, Datuk Nicol David di separuh akhir manakala Amanda menundukkan juara remaja dunia Nouran Gohar.

Beraksi di gelanggang terkemuka, Nour menunjukkan kematangan dalam permainan untuk menundukkan Amanda 11-4, 9-11, 12-10, 11-8 dalam tempoh 46 minit

“Perasaan yang luar biasa. Saya tidak dapat menggambarkannya.

“Perkataan tidak dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Kemenangan ini sangat istimewa dan memenanginya sesuatu yang tidak akan saya lupakan. Kami semua berada pada tahap sama dan masing-masing cuba untuk menewaskan lawan.

“Saingan membabitkan kelompok 10 terbaik sentiasa sukar. Ramai pemain muda muncul ketika ini yang mana anda dapat menyaksikan kelibat saya dan Amanda mara ke final. Suatu ketika dulu kami beraksi dalam kategori remaja.

“Saya sangat gembira dapat memenangi kejohanan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 5:44 AM