AZIZUL (kiri) yakin dengan kebolehannya.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Kehadiran pelumba handalan dunia pada siri Piala Dunia di Hong Kong tidak menggentarkan Azizulhasni Awang dalam misi menambah mata untuk layak ke Olimpik Rio.

Perlumbaan membabitkan dirinya yang berlangsung di Velodrom Tseung Kwan O hari ini dan esok penting untuk jaguh negara itu mengukuhkan kedudukan terutama dalam acara pecut.

“Persediaan berjalan lancar dengan saya sempat menjalani dua sesi latihan menyesuaikan diri. Ini kali pertama saya berlumba di velodrom ini.

“Saya tidak terlalu memikirkan lawan dengan fokus utama mencapai kedudukan terbaik dalam acara pecut,” katanya.

Jelas Azizulhasni, antara pelumba handalan yang dilihatnya hadir ialah juara dunia acara keirin Gregory Bauge dan juara dunia acara pecut Francois Pervis selain Theo Bos dan Jason Kenny.

“Mental dan fizikal saya tiada masalah. Harap semuanya berjalan lancar pada hari perlumbaan nanti,” katanya.

Saingan di Hong Kong antara tiga kejohanan terakhir untuk pelumba mengutip mata ke Olimpik Rio selain Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Jepun minggu depan dan Kejohanan Trek Dunia di London pada Mac.

Azizulhasni kini memberi fokus untuk membaiki kedudukannya dalam acara pecut selepas selesa dalam keirin.

Hari ini Azizulhasni akan turun beraksi dalam acara keirin bersama Shah Firdaus Shahrom manakala Fatehah (pecut) selain Jupha Somnet (omnium).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 5:46 AM