YINGLUCK (tengah) tersenyum ketika ditemui penyokongnya di mahkamah agung, semalam.
YINGLUCK (tengah) tersenyum ketika ditemui penyokongnya di mahkamah agung, semalam.

Bangkok: Perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri Thai Yingluck Shinawatra berhubung tuduhan cuai berkait dengan dasar subsidi padi yang dilaksanakan kerajaan bermula semalam.

Yingluck, perdana menteri pertama Thai berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun jika didapati bersalah ketika junta negara itu berusaha mencari jalan menghalang keluarga Shinawatra kembali aktif dalam politik.

Yingluck dipecat oleh sebuah mahkamah beberapa hari sebelum ketua tentera Prayut Chan-O-Cha merampas kuasa pada Mei 2014.

Ketibaan Yingluck di mahkamah semalam disambut puluhan penyokongnya, sebahagiannya memakai baju merah, ada yang membawa bunga ros sambil menjerit ‘Kami Sayangkan Yingluck.’

Mereka berkumpul tanpa mempedulikan pengharaman perhimpunan politik oleh junta.

Bercakap kepada penyokongnya, Yingluck berkata, dia yakin akan dibebaskan oleh mahkamah.

Dia bagaimanapun tidak dikehendaki memberi sebarang keterangan kepada mahkamah semalam.

Yingluck sebelum ini menafikan sebarang salah laku dengan berkata, subsidi padi itu yang membabitkan wang berbilion dolar bertujuan membantu petani miskin yang dipinggirkan golongan kaya di Bangkok. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 6:56 AM