REKA sendiri barangan terbuang yang boleh diguna pakai menerusi Harta Dalam Stor.
Oleh Norhayati Nordin


Sejak awal pembabitannya dalam bidang seni, peminat lebih mengenali Zoey Rahman sebagai pelakon dan juga pengacara.

Tidak ramai tahu jejaka berusia 31 tahun ini juga memiliki kepakaran berkaitan seni rekaan dalaman dan memiliki diploma dalam bidang terbabit dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jadi tidak hairan sekiranya Zoey atau nama sebenarnya, Mohd Hairey Azhar Abd Rahman dipilih untuk mengendalikan program berkaitan seni rekaan dalaman seperti Hello Bro! Tolong Deko dan terbaru, Harta Dalam Stor musim kedua disiarkan di Astro Ria.

Berkongsi mengenai ilmu dalam bidang seni rekaan dalaman dimiliki kata Zoey, sebelum aktif berlakon dia pernah menimba pengalaman bekerja selama dua tahun.

Kata Zoey, dalam tempoh itu dia bekerja dengan syarikat milik bapanya dan mengendalikan hiasan dalaman membabitkan premis perniagaan, ruang pejabat dan restoran.

“Saya seorang yang sukakan cabaran, jadi apabila Astro menawarkan untuk mengendalikan program Harta Dalam Stor musim baharu, saya tidak melepaskan peluang dan terus terima. Bagi saya, sayang untuk menolak tawaran diberikan memandang–kan saya mempunyai pengalaman.

“Tambahan pula menerusi program Harta Dalam Stor musim kedua ini, saya menunjukkan kemahiran dengan mereka sendiri barangan terbuang yang boleh diguna pakai,” katanya.

Bergandingan dengan Fad Bocey, Zoey berkata dia tiada masalah untuk mewujudkan keserasian dengan pelawak popular itu sepanjang mengendalikan Harta Dalam Stor.

“Jujur, pada awalnya saya tertanya-tanya siapa pelawak bernama Fad Bocey ini kerana saya kurang menonton program komedi.

“Namun, selepas medapatkan maklumat mengenai Fad di Internet baru saya tahu dia adalah anggota kumpulan Bocey. Ternyata namanya besar dalam industri seni terutama membabitkan komedi.

“Pada peringkat awal penggambaran program dijalankan saya berdebar apabila memikirkan bagaimana gandingan kami nanti. Tapi tak sangka, ketika rakaman episod pertama dijalankan kami sudah serasi dan dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain,” katanya.

Beralih topik kepada perkembangan kerjaya lakonan, Zoey menjelaskan dia membintangi drama Anakku Diva dan Dawai Asmara.

Katanya, watak yang dilakonkan dalam dua drama terbabit tidak terlalu mencabar kemampuannya seperti mana lakonannya dalam telefilem Imam Bisu yang pernah ditayang–kan di saluran Astro Oasis. Dalam telefilem terbabit dia memegang watak jahat.

“Sebenarnya saya suka melakonkan watak antagonis. Peluang menjadi pemuda jahat dalam telefilem Imam Bisu memberi kepuasan.

“Sebelum ini saya sering disogokkan dengan watak pelajar sekolah disebabkan wajah saya yang nampak keanak-anakan. Kadangkala bosan apabila sering ditawarkan watak sama.

“Sebagai pelakon saya menyimpan impian besar untuk melakonkan karakter mencabar seperti lelaki psiko, pembunuh dan gila. Tetapi selalunya penerbit dan pengarah akan berkata, watak seperti itu tidak sesuai dengan saya.

“Sepatutnya mereka memberi peluang kepada saya untuk mencuba. Tidak semestinya lelaki muka jambu macam saya tidak sesuai untuk watak ekstrem sebegini,” katanya.

Zoey berkata, dia sentiasa berpandangan positif dalam menilai kerjaya seninya dan mengharapkan tahun 2016 akan lebih membuka peluang kepadanya melakonkan watak serius dan mencabar.

Masih solo dan fokus pada kerjaya

Mengulas mengenai status dirinya yang masih solo, Zoey berkata dia belum bertemu dengan jodohnya. Disebabkan itu dia lebih selesa memberikan fokus kepada karier.

“Selepas cinta saya yang lalu kecundang di tengah jalan, sekarang saya senang hidup sendiri. Bagaimanapun saya tidak serik bercinta, cuma belum bertemu calon sesuai. Apapun, soal jodoh itu biarlah ditentukan Tuhan dan untuk tempoh sekarang adalah lebih baik saya memberi sepenuh tumpuan pada karier.

“Selain itu, saya juga sibuk memantapkan perniagaan produk penjagaan kulit yang diusahakan sejak setahun lalu. Saya ada perancangan untuk meluaskan pasaran produk itu ke luar negara,” katanya.

Tidak mahu bersikap terburu-buru, Zoey berkata dia suka membuat perancangan. Katanya merancang dengan teliti penting sebelum meraih kejayaan.

Mengulas mengenai kemunculannya dalam beberapa program TV di negara jiran, Indonesia seperti Pesbuker dan The New Eat Bulaga, Zoey berkata dia sekadar memanfaatkan peluang.

Katanya tawaran sudah diperoleh dan tidak mungkin dia mahu menolak rezeki. Tambahan pula menerusi program dijayakan itu, Zoey turut digandingkan dengan selebriti terkenal Indonesia.

Apapun Zoey berkata, dia gembira kemunculannya dalam program hiburan di Indonesia itu diterima baik penonton dan peminatnya di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:03 AM