NADIAH temani bakal suami ikuti kursus agama di Darul Arqam setiap minggu.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Jejaka asal dari Perancis berketurunan Arab Turki, menjadi pilihan pelakon Singapura, Nadiah M Din, 25, sebagai suami.

Berkongsi berita gembira itu, Nadiah akui bakal suaminya itu sudah memeluk Islam pada Oktober tahun lalu dan menukar nama kepada Bilal Jeanpierre, 29.

Katanya, mereka bertemu dalam satu majlis ‘housewarming’ diadakan seorang rakan dan akui pertama kali melihat wajahnya terus jatuh hati.

“Kata orang, nak tahu lelaki itu baik atau tidak kena tengok cara dia layan keluarga dan ibu bapanya. Terbukti dia sangat sayangkan ibunya apabila berpeluang bertemu keluarganya,” katanya memilih akhir tahun ini sebagai hari bahagianya.

Nadiah tidak mengambil masa lama untuk melangkah ke fasa alam rumah tangga. Bagaimanapun, pelakon filem Sinaran dan drama bersiri Mata Mata itu memberi syarat mahu pasangan yang mempunyai pegangan agama sama.

“Selepas empat bulan kenal, saya menyatakan hasrat itu kepadanya jika mahu hubungan kami berterusan. Selepas enam bulan, akhirnya dia terbuka pintu hati untuk memeluk Islam.

“Saya terharu kerana dia memeluk Islam bukan saja kerana cintakan saya malah jatuh hati pada agama Islam. Sebagai sokongan moral, saya ikut dia ke kursus agama di Darul Arqam berhampiran Arab Street setiap minggu.

“Lagi pun ia satu pengalaman baik untuk saya juga sebab pada masa sama, saya dapat segarkan kembali ilmu agama.

“Saya lihat ia sebagai satu petunjuk daripada Allah bahawa saya juga perlu mendalami semula ilmu agama supaya hubungan kami lebih berkat,” kata pelakon berdarah kacukan Jawa Pakistan itu.

Selain ke kelas agama, kebetulan bakal suaminya juga mempunyai beberapa rakan beragama Islam di Singapura.

Tanggal 24 Oktober 2015 lalu, jejaka itu akhirnya melafazkan dua kalimah syahadah disaksikan Nadiah, keluarga dan teman rapat.

“Sewaktu dia melafazkan syahadah, saya penuh beremosi. Air mata saya tak berhenti menangis. Dulu saya pernah berdoa supaya jodoh kami panjang dan Allah buka pintu hatinya memeluk Islam.

“Dia langsung tak gementar ketika melafazkan dua kalimah suci itu. Syukur Allah makbulkan doa saya,” katanya gembira.

Nadiah turut terharu apabila bakal suaminya meluahkan hasrat untuk membawa dia dan ibunya menunaikan umrah selepas diijabkabulkan.

Selain majlis akad nikah dan resepsi di Singapura, mereka berdua turut akan mengadakan majlis resepsi secara tertutup di negara kelahiran Bilal.

Pelakon berkulit hitam manis itu akui kerjaya seni akan tetap diteruskan biarpun sudah bergelar isteri.

Apatah lagi, ruang rezeki di Malaysia baru saja bermula dan dia tidak mahu menjadi alasan sudah berkahwin untuk terus berhenti daripada bidang hiburan.

“Saya akan tetap berlakon cuma perlu menapis jenis watak supaya sesuai dengan status saya sebagai isteri. Lagipun, sedari dulu saya memang akan pilih watak yang sesuai.

“Bilal sendiri pun sudah memberi kelonggaran untuk saya terus berlakon kerana dia faham itu adalah kerjaya dan minat saya,” katanya.

Walaupun terlalu awal untuk bercakap soal cahaya mata, anak pelukis terkenal Singapura kelahiran Malaysia, Mohamad Din Mohamad itu tidak menolak kemungkinan untuk mempunyai dua atau tiga anak hasil perkahwinan itu kelak.

Katanya, pada masa ini persiapan perkahwinan belum dimulakan sepenuhnya kerana sibuk dengan peng-

gambaran studio program hiburan AH!..Adam dan Hawa untuk siaran televisyen Singapura.

Pada masa sama, dia juga baru saja selesai menjalani penggambaran program Jelajah Malaysia bersama beberapa selebriti tempatan dan luar negara di bawah Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) untuk mempromosi Malaysia di media sosial.

“Kebetulan saya juga suka mengembara dan peluang mempromosi Malaysia kepada peminat di dalam dan luar negara adalah satu aktiviti menyeronokkan.

“Kalau saya tidak sibuk, saya lebih suka luangkan masa di gimnasium atau bersama keluarga di rumah,” katanya.

Selepas filem Sinaran, Nadiah kini beraksi dalam filem 7 Letters yang mula berada di pawagam tempatan bermula 14 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:03 AM