ASKAR Perancis mengambil kedudukan sebelum menyerbu masuk Hotel Splendid.
ASKAR Perancis mengambil kedudukan sebelum menyerbu masuk Hotel Splendid.
AP

Ouagadougou, Burkina Faso

Drama tebusan sebuah hotel mewah di bandar ini berakhir semalam selepas pihak berkuasa Burkina Faso yang dibantu askar Perancis membunuh empat militan dan membebaskan lebih 126 tawanan.

Sekurangnya 23 mangsa dari 18 negara terbunuh dalam serangan di Hotel Splendid dan kafe berhampiran yang popular dengan pelancong Barat di Ouagadougou.

Kementerian Keselamatan dan Hubungan Dalam Negeri memberitahu, seramai 33 cedera dalam serangan berkenaan.

Presiden Burkina Faso, Roch Marc Christian Kabore berkata, dua dari empat penyerang di Hotel Splendid dikenal pasti sebagai wanita.

“Kami menyeru rakyat Burkina Faso tabah dan berani kerana kita perlu menentang ancaman ini,” katanya.

Sekumpulan anggota militan menyerbu hotel dan kafe berkenaan dan menawan sekumpulan pelancong pada lewat malam kelmarin.

Kumpulan yang dikenali sebagai al-Qaeda di Negara Islam Maghreb (AQIM) mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan berkenaan.

AQIM didakwa melancarkan serangan sama di sebuah hotel mewah di Bamako, Mali pada November lalu yang menyebabkan 20 orang maut.

Bunyi tembakan bergema semula pada awal pagi semalam apabila pasukan keselamatan menyerbu hotel dan kafe berkenaan.

Beberapa buah kereta dan motosikal dilihat terbakar manakala tingkap hotel pecah terkena tembakan.

Seorang saksi, Issouf Ouattara berkata, seorang wanita berkulit hitam dan seorang lagi wanita muda Arab menyerbu kafe itu sambil meluangkan ‘Allahu akhbar’ sebelum menembak mati 10 mangsa.

“Suasana tiba-tiba menjadi panik, tetapi selepas 20 minit keadaan kembali senyap.

“Tidak lama selepas itu tembakan tercetus semula kemungkinan berlaku apabila polis menyerbu masuk,” katanya.

Seorang lagi saksi, Patrick Nikiema pula memberitahu, dia membantu mengeluarkan mangsa yang bersembunyi di beberapa tempat di kafe berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:04 AM