AZIZUL (kanan) menamatkan aksi separuh akhir di tempat keempat.
AZIZUL (kanan) menamatkan aksi separuh akhir di tempat keempat.

Kuala Lumpur: Pelumba trek negara Azizulhasni Awang gagal melangkah ke pentas final acara keirin selepas menamatkan aksi separuh akhir di tempat keempat pada siri Piala Dunia di Hong Kong, malam tadi.

Tiga pelumba terbaik dari Eropah iaitu Hugo Barrette (Kanada), Tobias Wachter (Jerman) dan Matthijs Buchli (Belanda) menamatkan saingan di hadapan Azizulhasni untuk mara ke final bersama tiga pelumba lain dalam satu lagi aksi separuh akhir.

The Rocketpocket Man terpaksa akur bersaing merebut kedudukan pada perlumbaan tujuh hingga 12 dan menamatkan perlumbaan pada tempat kesembilan keseluruhan.

Azizulhasni bagaimanapun akan turun dalam acara pecut individu hari ini. Acara yang menjadi tumpuan dan fokusnya mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukannya untuk layak ke Olimpik Rio.

Bagaimanapun pelumba omnium negara Jupha Somnet terlebih dulu mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam 3 kilometer individu kejar-mengejar.

Pelumba dari Perlis itu melakar 3 minit 49.681 saat untuk memecahkan rekod dilakar pada 2006 yang dilakukan Uracca Leow Hoay Sim - 3 minit 50 saat di Sukan Asia Doha.

“Saya sangat gembira kerana memecahkan rekod berusia 10 tahun. Tiada siapa mampu melakukannya dan hari ini (semalam) saya berjaya.

“Acara omnium masih berbaki tiga disiplin, saya akan cuba memberikan yang lebih baik esok (hari ini),” kata Jupha.

Dua lagi pelumba negara, Fatehah Mustapa (pecut individu) dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (keirin) kecundang pada pusingan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:06 AM