MUKHRIZ (kiri) menyerahkan jersi Hijau Kuning yang ditandatanganinya kepada Nasir (dua dari kiri), semalam.
MUKHRIZ (kiri) menyerahkan jersi Hijau Kuning yang ditandatanganinya kepada Nasir (dua dari kiri), semalam.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memerlukan RM30 juta dalam bentuk tajaan syarikat atau sektor korporat dalam usaha membangun dan memantapkan pengurusan bola sepak negeri.

Presiden KFA Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sasaran kewangan berkenaan bukan saja untuk skuad Helang Merah mengharungi Liga Super, malah turut tertumpu kepada pembangunan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan futsal.

Menurutnya, setakat ini KFA masih dalam rundingan dengan beberapa syarikat dan anak syarikat kerajaan negeri yang menyatakan minat untuk menaja, namun keputusan mengenainya masih belum muktamad.

“Sebelum ini saya mengeluarkan kenyataan kepada sesiapa yang berminat untuk menaja supaya datang berbincang kerana kami memang mengalu-alukan mereka.

“Sasaran kita, hampir RM30 juta diperlukan untuk dan sekiranya boleh dicapai, kita tidak akan mempunyai masalah kewangan lagi.

“Kita berharap ada syarikat korporat sudi berunding mengenai tajaan kerana keadaan ekonomi KFA kini tidak ‘sihat’, namun masih boleh membayar gaji pengurusan, pemain dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis kenduri di rumah Nasir Abas, 61, atau Pak Nasir di Taman Seri Putra, Kuala Kedah, di sini, semalam.

Sebelum ini, Nasir melakukan larian solo sejauh 500 kilometer selama 10 hari dari Stadium Shah Alam, Selangor ke Stadium Darul Aman, di sini, sehari selepas perlawanan akhir antara Kedah menentang Selangor pada final Piala Malaysia, 12 Disember lalu.

Majlis kenduri itu yang mendapat tajaan KFA RM5,000 dihadiri lebih 2,000 penyokong Hijau Kuning dari sekitar Kuala Kedah dan Alor Setar.

Mukhriz berkata, Pak Nasir melakukan keunikan untuk menunjukkan minatnya terhadap pasukan Hijau Kuning dengan melakukan larian itu.

Katanya, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada Pak Nasir sekiranya dia ingin membuat larian sama pada masa hadapan demi Hijau Kuning.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:08 AM