Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pelumba trek negara Azizulhasni Awang tidak bernasib baik apabila bertemu pelumba Australia Patrick Constable pada pusingan pertama acara pecut individu siri Piala Dunia di Hong Kong, semalam.

Azizulhasni, yang menamatkan acara keirin pada kedudukan kesembilan kelmarin, terpaksa akur dengan kehebatan lawan yang kemudiannya muncul juara acara pecut selepas Xu Chao dari China dalam pertarungan dua pusingan.

“Walaupun terkeluar awal, saya mencapai misi hari ini (semalam) apabila muncul dua pelumba terpantas Asia dalam pusingan kelayakan,” katanya yang berada dalam misi mengutip mata ke Olimpik Rio.

Pada pusingan kelayakan pelumba berusia 28 tahun itu melakukan 10.118 saat untuk berada pada kedudukan ke-13 daripada 36 pelumba manakala Chao muncul keenam terpantas dengan masa 10.050 saat.

“Perlumbaan di Hong Kong ini bagus untuk saya menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Jepun (minggu depan). Saya mengharapkan keputusan lebih baik di ACC nanti,” katanya.

Rakan sepasukan Azizulhasni, Mohammad Shah Firdaus Sahrom gagal melangkah ke pusingan pertama dalam acara keirin apabila berada pada kedudukan ke-35 pusingan kelayakan.

Fatehah Mustapa pula menamatkan saingan acara keirin pada kedudukan ke-11 selepas tewas di separuh akhir manakala Jupha Somnet sekadar mengumpul 26 mata selepas menamatkan enam disiplin acara omnium.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:08 AM