MINUM dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti anda.
Susunan Yusliza Yakimir Abd Talib

Cuaca panas dan kering fenomena yang biasa di kawasan tropika seperti Malaysia. Bagaimanapun, ketika ini negara kita berdepan dengan fenomena El Nino kuat yang dijangka berterusan sehingga suku pertama 2016.

Fenomena ini juga dijangka boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20 hingga 60 peratus dan kenaikan suhu sekitar 0.5 darjah Celsius hingga 2 darjah Celsius berbanding biasa.

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan, pendedahan kepada cuaca panas adalah salah satu penyebab yang menyumbang kepada peningkatan kedatangan pesakit ke klinik, bilangan kemasukan ke hospital dan malah kematian akibat sesuatu penyakit tertentu terutama dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi.

Cuaca panas adalah tekanan fizikal kepada badan manusia. Kesan kesihatannya pelbagai, daripada sederhana kepada teruk seperti strok haba yang boleh menyebabkan maut.

Masalah berkaitan kesihatan boleh terjadi di pelbagai tahap suhu disebabkan pakaian pelbagai jenis, keadaan pekerjaan, aktiviti fizikal dan beban kerja selain kumpulan umur dan kecergasan individu.

Kesan kesihatan berkaitan cuaca panas termasuk keletihan atau kelesuan akibat dari panas, pitam atau pengsan, kekejangan dan strok haba.

Tanda dan gejala kesihatan berkaitan dengan panas

Terdapat pelbagai tanda dan gejala masalah kesihatan berkaitan panas, bergantung kepada keterukan keadaan sesuatu masalah itu. Gejala biasa termasuk:

- Sakit kepala

- Keletihan

- Tumpuan lemah

- Pening

- Lemah otot badan atau kekejangan

- Mual dan muntah

- Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan, dan koma (tidak sedarkan diri).

Komplikasi yang boleh berlaku disebabkan masalah berkaitan panas termasuk strok haba yang boleh menyebabkan maut, kerosakan organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati.

Semua orang berisiko menghadapi masalah kesihatan berkaitan kepanasan. Bagaimanapun, kumpulan tertentu lebih berisiko untuk menghadapi kesan kesihatan seperti mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal seperti buruh, peladang, ahli sukan dan tentera.

Selain itu, orang dewasa berumur 40 tahun ke atas adalah 10 kali ganda lebih berisiko berbanding orang lebih muda, selain risiko terhadap kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, mereka yang menghidapi masalah pernafasan dan jantung, penghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat, yang menghalang panas keluar daripada penyejatan dan pengeringan peluh.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan yang berisiko tinggi dinasihatkan untuk berhati-hati dengan kemungkinan terbabit.

Tip pencegahan:

Perlu

- Minum dengan banyak, tanpa mengira tahap aktiviti anda. Jangan tunggu hingga anda dahaga.

- Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.

- Berada di dalam rumah atau bangunan.

- Hadkan aktiviti luar.

- Berehat dengan kerap.

- Mandi atau buka kipas angin untuk menyejukkan anda.

- Pakai pakaian yang ringan, berwarna terang, dan longgar.

- Pakai topi atau payung yang besar.

Jangan/ tidak perlu

- Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi.

- Membiarkan seseorang di dalam kereta yang bertutup.

- Bersenam dalam cuaca panas.

Jika mempunyai tanda masalah berkaitan dengan suhu panas, seseorang itu harus:

- Keluar dari kawasan yang panas.

- Tanggalkan pakaian yang ketat.

- Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan.

- Gunakan kipas untuk sejukkan badan.

- Minum air setiap 15 minit.

- Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal.

Apa yang perlu dilakukan jika menghadapi kekejangan otot:

- Keluar dari kawasan yang panas.

- Meregangkan otot berkaitan.

- Letakkan bungkusan ais atau air batu.

- Minum air setiap 15 minit

- Hindari aktiviti fizikal yang lasak untuk hari berkenaan.

Dapatkan nasihat perubatan dengan segera jika anda mengalami tanda amaran seperti:

- Panas, kulit kering, tetapi tidak berpeluh

- Kekeliruan atau kebingungan

- Kerap muntah

- Susah bernafas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:10 AM