ABDUL Rahim (dua kiri) dan Mohd Nurfirdaus (dua kanan) mengaku tidak bersalah. FOTO Luqman Hakim Zubir
ABDUL Rahim (dua kiri) dan Mohd Nurfirdaus (dua kanan) mengaku tidak bersalah. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Mohd Fauzi Abdullah


Kuantan: Seorang Penolong Tadbir Tanah dan Pembantu Awam Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan RM8,500 daripada pengusaha lombong bauksit haram pada 6 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Nurfirdaus Rahmat, 28, dan Abdul Rahim Sulaiman, 53, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka secara berasingan di depan Hakim Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Nurfirdaus yang bertugas sebagai pembantu awam dituduh menerima suapan wang tunai RM8,500 daripada Anurul Hiraq Abu Bakar, 33, sebagai balasan kerana memberi perlindungan bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram dengan menjual 50 keping borang 13D (dokumen pemindahan mineral).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 6.05 petang di Lorong Bukit Ubi 26, Bukit Sekilau, Kuantan, 6 Januari lalu.

Tertuduh kedua, Abdul Rahim Sulaiman, 53, yang juga penolong tadbir tanah dituduh bersubahat dengan Mohd Nurfirdaus menerima suapan RM8,500 daripada orang sama sebagai balasan kerana memberi perlindungan bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram.

Dia melakukan kesalahan itu di No 12 Lorong Indera Mahkota 15/26 Taman Mutiara Mahkota, Kuantan, jam 9.16 malam, pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (c) dibaca bersama Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta sama.

Habibah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shafinas Shabudin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 11:30 AM