TERTUDUH (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tukang punggah barang dibenarkan jaminan sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM1,700 kepada anggota polis sebagai dorongan untuk melepaskan enam warga Myanmar, Rabu lalu.

Tertuduh, Azman Awang, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, didakwa memberi suapan wang tunai RM1,700 kepada ejen kerajaan Malaysia yang bertugas di Ibu Pejabat Cawangan Risikan Batalion 7 Briged Tenggara PGA, Kuantan sebagai dorongan untuk melepaskan enam warga Myanmar, pada jam 9.30 malam, 13 Januari 2016.

Kesalahan itu, boleh didakwa mengikut Seksyen 17 (6) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Mohd Yusoff membenarkan jaminan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 1:44 PM