CHIN Aun (belakang, tiga dari kanan) bersama pemain Coaches FC dan AGFC.
CHIN Aun (belakang, tiga dari kanan) bersama pemain Coaches FC dan AGFC.
Oleh Nazri Abu Bakar

Alor Gajah: Legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun membantu pasukan Coaches FC menewaskan AGFC 2-1 pada aksi persahabatan di Kompleks Rakan Muda, Lendu baru baru ini.

Walaupun berusia 64 tahun, aksinya mengatur gerak masih berbisa bagi membolehkan skuad diwakilinya meraih kemenangan.

Kapten pasukan Coaches FC Yong Meng Chong berkata, kehadiran Chin Aun menyemarakkan lagi semangat pemain lain termasuk pasukan lawan untuk menjayakan program perpaduan kaum melalui sukan.

Menurutnya, semua pemain begitu teruja beraksi bersama bekas kapten kebangsaan itu terutama dalam mempelajari kemahiran tinggi dimilikinya.

Pasukan Coaches FC yang dibarisi jurulatih Program Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) itu juga sering mengadakan perlawanan persahabatan dalam misi memperkenalkan program berkenaan kepada umum.

Beliau berkata, PPBN anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka penyertaan kepada pelajar berusia 7 hingga 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:09 AM