PENUNGGANG motosikal yang kebanyakannya remaja diperiksa dan disaman atas pelbagai kesalahan. FOTO Yahya Awang


Taiping: Polis mengeluarkan 34 saman dan menyita 13 motosikal dalam operasi mencegah lumba haram di sekitar Taman Tasik Taiping yang dijalankan petang semalam sehingga malam tadi.

Dalam operasi bermula 5 petang hingga 8 malam itu, Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping melakukan sekatan jalan raya serta kepungan sekitar Taman Tasik berkenaan bagi melakukan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, tindakan itu dilakukan selepas menerima maklumat dan aduan orang ramai mengenai kegiatan remaja bermotosikal di kawasan terbabit yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan pengguna jalan raya terutama pada hujung minggu.

"Hasil operasi selama tiga jam itu, sebanyak 34 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Sebanyak 13 motosikal milik penunggang yang berusia antara 17 hingga 22 tahun turut disita," katanya kepada media di sini hari ini.

Harrith Kam berkata, tindakan itu juga bertujuan mencegah kegiatan kes ragut yang membabitkan penggunaan motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 3:47 PM