AFP

Melbourne: Juara bertahan Novak Djokovic dan Serena Williams melangkah ke pusingan kedua Terbuka Australia semalam ketika acara Grand Slam pertama tahun ini digemparkan dengan dakwaan mengatur perlawanan.

Bekas juara, Roger Federer dan Maria Sharapova turut layak selepas mengharungi perlawanan pertama yang berlangsung dalam cuaca panas di Melbourne Park yang mana seorang pengutip bola pengsan dan terpaksa dipapah keluar.

Lawan sebenar Djokovic ialah cuaca panas 35 darjah Selsius dan dia terpaksa menyejukkan diri dengan bungkusan ais sebelum pilihan utama itu mengatasi bintang sedang meningkat Korea Selatan Chung Hyeon 6-3, 6-2, 6-4.

“Anda cuba mengekalkan tumpuan supaya tidak terbawa-bawa dengan cuaca panas kerana ia boleh mengganggu,” kata bintang Serbia itu yang terpaksa menarik diri pada suku akhir 2009 akibat cuaca terlalu panas.

“Memang ada beberapa rali panjang tapi secara fizikal, saya rasa lebih baik berbanding lawan.”

Serena kembali ke saingan kompetitif selepas berehat empat bulan sejurus tewas pada separuh akhir Terbuka AS tahun lalu.

Sambil tidak menunjukkan sebarang kesakitan lutut yang memaksanya menarik diri dari saingan Piala Hopman bulan ini, Serena menang 6-4, 7-5 ke atas pemain Itali Camila Giorgi.

“Saya tidak bermain saingan kompetitif agak lama dan justeru, adalah elok untuk saya bermain dan melepasi pusingan pertama di sini,” kata Serena. “Saya berjaya mengekalkan tumpuan dan itulah yang paling penting.”

Serena, 34, sedang memburu rekod era Terbuka dengan menyamai 22 gelaran Grand Slam manakala Djokovic boleh menjadi pemain lelaki kedua menang enam gelaran Terbuka Australia selepas Roy Emerson.

Federer turut tidak berdepan masalah ketika menang 6-2, 6-1, 6-2 ke atas pemain Georgia Nicoloz Basilashvili dalam usahanya memburu gelaran Grand Slam ke-18.

Maria yang muncul juara pada 2008, mengatasi lawan dari Jepun Nao Hibino 6-1, 6-3 dalam tempoh 73 minit pada aksi pertamanya tahun ini selepas kecederaan bahu memaksanya menarik diri daripada kejohanan di Brisbane bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 7:01 AM