TERTUDUH di luar Mahkamah Sesyen Tawau. FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh


Tawau: Seorang Timbalan Pendakwa Raya mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM40,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Kamalia Yahdi, 33, yang bertugas di Jabatan Peguam Negara Cawangan Tawau didakwa meminta suapan wang tunai RM50,000 daripada dua individu sebagai dorongan menarik balik kes dibicarakan di Mahkamah Majistret Tawau di Hotel Promenade Tawau kira-kira 5 petang pada 15 Mei tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Kamalia didakwa menerima wang suapan RM40,000 daripada dua individu sebagai dorongan menarik balik kes dibicarakan di Mahkamah Majistret Tawau di lokasi sama pada jam 9 malam, 20 Mei tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Chang Voon Kiat, 45, yang menjadi perantara Kamalia untuk meminta dan menerima suapan wang tunai RM40,000, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta SPRM 2016.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah meminta suapan wang tunai RM40,000 pada jam 2.10 petang, 20 Mei tahun lalu di Kuhara Court Apartment Tawau.

Sementara pertuduhan kedua, Chang didakwa menerima suapan wang tunai RM40,000 pada jam 10 malam, 20 Mei tahun lalu di [email protected] Hotel Promenade Tawau.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal @ Zainol dan Pegawai Pendakwa SPRM Awang Samsul Baharam Bungso, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Dean Wayne Daly kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 19 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 11:06 AM