Nabihah Kamal


Kajang: Seorang lelaki ditahan selepas mencuri sebotol minyak wangi dan dua pisau pencukur di pasar raya di Bandar Baru Bangi, semalam.

Dalam kejadian pada 3 petang, lelaki berusia 20 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum perbuatannya mencuri barangan berkenaan dikesan pekerja pasar raya itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, pekerja wanita ternampak lelaki berkenaan memasukkan botol minyak wangi ke dalam beg galasnya.

"Wanita itu terus menghubungi pengawal keselamatan sebelum suspek ditahan di pintu keluar pasar raya.

"Hasil pemeriksaan menemui sebotol minyak wangi dan dua pisau pencukur yang dicuri lelaki berkenaan. Dia (suspek) dibawa ke balai polis dan direman sehingga esok," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, petang tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:07 PM