KEADAAN lori yang musnah terbakar. FOTO Muhaizan Yahya
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Dua lori membawa muatan ubat nyamuk dan racun serangga serta buah-buahan terbabit kemalangan dan terbakar di Kilometer 283.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan berhampiran Simpang Pulai, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.50 tengah malam itu, kedua-dua lori dikatakan dalam perjalanan ke arah Kuala Lumpur dan kemalangan apabila lori membawa muatan ubat nyamuk dan racun serangga dipercayai terlanggar bahagian belakang kanan lori muatan buah-buahan yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak.

Akibat pelanggaran itu kedua-dua lori berkenaan terbakar dan berlaku letupan daripada racun serangga jenis aerosol yang dibawa.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Pegawai Bomba Kanan ll Abdul Manap Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat panggilan kecemasan pada 12.55 tengah malam berhubung kemalangan di kawasan berkenaan.

"Pada awalnya maklumat yang diterima hanya kejadian kemalangan, namun ketika menghampiri lokasi kita dapati berlaku kebakaran membabitkan dua lori.

"Sebaik sampai kita dapati api sedang marak dan kenderaan yang terbabit sudah hampir 80 peratus terbakar.

"Turut berlaku letupan membabitkan barang muatan yang dibawa satu daripada lori berkenaan dan demi keselamatan pengguna lebuh raya kami mengarahkan pihak PLUS untuk menutup laluan di kedua-dua arah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, maklumat awal pihaknya juga mendapati tiada berlaku kemalangan jiwa dan hanya kelindan kedua-dua lori berkenaan dilaporkan cedera ringan sahaja.

"Bomba mengawal kebakaran 1.25 pagi dan api dipadamkan keseluruhan kira-kira 3.45 pagi. Pihak PLUS kembali membuka kedua-dua arah laluan yang sebelum itu terkandas sejauh beberapa kilometer selama lebih tiga jam.

"Operasi pemadaman membabitkan dua pegawai dan 12 anggota dengan empat jentera termasuk satu van EMRS bomba tamat pada 6 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 11:23 AM