MIMI main konsol tanpa mengira genre permainan.
KONSOL Playstation 4 milik Mimi.
MIMI selesa mendalami hobi lelaki dengan bermain konsol.
MEL selesa bermain 'game' di rumah.
MEL gemar mengumpul figura karakter Dota 2.
MEL bermain 'game' sebagai hobi waktu lapang.

Bukan lelaki saja pandai bermain ‘game’. HAZRIL MD NOR cuba ubah persepsi anak muda bahawa perempuan juga setara lelaki dalam hobi sebegini

Permainan video dan konsol boleh dianggap kegilaan anak muda. Ada jadikan ‘game’ sebagai hiburan dan ada yang melangkah jauh dalam arena sukan elektronik.

Realitinya kebanyakan pemain ‘game’ dimonopoli lelaki, namun untuk pengetahuan semua beberapa gadis turut berkongsi minat sama.

Berkesempatan menyelami pengalaman pemain ‘game’ dalam kalangan wanita ada menariknya. Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi semata-mata mahu menolak tanggapan hanya lelaki saja layak mendominasi cabang hobi sebegini.

Seronok berkawan

Bagi Nur Syamila Tasnim Ahmad Marzuki atau lebih dikenali sebagai Mel, dia lebih gemar mengisi masa lapang dengan cara berbeza.

“Saya sukakan sesuatu yang ‘trendy’ dan ramai kawan di sekolah gemar main Dota 2. Mula-mula rasa agak janggal sebab tak biasa, namun selepas berulang kali menonton video di YouTube, ia menjadi mudah,” katanya.

Menurut Mel, dia tidak pernah rasa dipinggirkan kerana faktor kekurangan pemain perempuan memastikan dia sentiasa mendapat tempat dalam kumpulan.

“Dalam permainan ini terutama di negara kita, jumlah pemain wanita tidaklah ramai. Jadi, kawan lelaki memang selalu ajak main sama-sama.

“Lagipun, saya suka berkawan dengan sesiapa saja termasuk di alam maya. Dota 2 antara ‘platform’ sesuai untuk menambah kenalan daripada latar belakang berbeza,” katanya.

Sekadar hiburan

Sudah tentu rasa tidak selesa hinggap pada dirinya apabila dikelilingi pemain lelaki, namun statusnya sebagai seorang gadis tidak pernah dianggap satu kelemahan.

“Agak sukar bersaing dengan pemain lelaki lebih berpengalaman, namun sebagai satu-satunya perempuan dalam kumpulan, saya lebih terbuka menerima teguran dan pendapat,” katanya.

Apa-apa pun katanya, hobi sebegini tidak memberikan impak negatif sehingga mengganggu pelajaran apatah lagi dia bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

“Selepas tamat waktu persekolahan, saya akan mengulang kaji dan habiskan satu jam bermain Dota 2 pada sebelah malam. Pada hari minggu, saya luangkan masa bersama rakan dan keluarga,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Disebabkan terlalu meminati permainan siber itu, dia mengumpul figura karakter Dota 2 untuk dijadikan hiasan dalam bilik tidur.

Minat ‘game’ sejak kecil

Berkongsi minat yang sama, Syamimi Haney Jaffry, 21, atau lebih mesra disapa Mimi tidak lokek menceritakan pengalamannya bermain konsol kepada penulis.

Menurutnya, dia tidak mempunyai ramai saudara perempuan dan banyak meluangkan masa di rumah. Malah, ayahnya yang menggemari permainan video banyak mendedahkannya kepada hobi bermain konsol.

“Ayah ajar main konsol ketika saya berusia 7 tahun dan daripada situ saya mula rasakan inilah hobi waktu lapang yang sesuai dan santai,” katanya yang kini memiliki konsol Playstation 4 dan Xbox One.

Jika mahu dibandingkan dengan pemain ‘game’ wanita lain, Mimi berkata, memang ada perbezaan ketara dari segi minat dan sebagainya.

“Kebanyakan gadis lebih menggemari permainan maya di telefon pintar yang bersifat kasual. Namun, saya lebih suka konsep pemain lawan pemain (PVP) dan permainan atas talian. Ia lebih mencabar,” katanya.

Ingin jadi yang terbaik

Anak bongsu daripada dua beradik ini lebih seronok ‘lepak’ di rumah bermain konsol sebagai salah satu cara mengurangkan tekanan di tempat kerja. Berikutan itu, dia memperuntukkan tiga jam sehari untuk hobi terbabit.

Ketika ditanya pengalaman bermain bersama pemain lain rata-ratanya lelaki, Mimi berkata, tidak ada masalah komunikasi dan dia bebas menunjukkan kebolehannya.

“Bagi saya, bukan lelaki saja hebat bermain ‘game’. Perempuan juga setanding jika diberi peluang dan kerap berlatih.

“Apabila kita main konsol dengan berlainan jantina, ia sememangnya pengalaman luar biasa. Mereka bersifat terbuka dan tak terlalu cerewet,” katanya yang juga ahli kelab Malaysian Female Gamers di Facebook.

Gadis berasal dari Johor Bahru ini berkata, jika diberi peluang dia ingin menjadi pengulas video ‘game’ sebagai kerjaya sepenuh masa selain berhasrat bergiat aktif dalam pertandingan permainan konsol di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 8:15 AM