NAWAL menunjukan laporan analisis keputusan STAM 2015 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Seramai 444 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2015 memperoleh sijil pangkat Mumtaz (cemerlang) iaitu peningkatan 113 calon berbanding 331 calon pada 2014.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksan Kementerian Pendidikan, Nawal Salleh berkata, 4,211 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2015 memperoleh sijil pangkat Maqbul (lulus) hingga Mumtaz (cemerlang) meningkat 388 calon berbanding 3,823 calon pada tahun sebelumnya.

"Calon yang memperoleh sijil pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik) pula meningkat kepada 1,395 calon berbanding 1,130 calon tahun sebelumnya manakala, calon yang memperolehi sijil Jayyid (Baik) meningkat seramai 49 calon kepada 1,929 calon.

"Calon yang tidak layak dianugerahkan sijil STAM pula menurun sebanyak 210 calon kepada 2,002 calon berbanding 2,212 calon pada tahun sebelumnya," katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan STAM 2015 di sini, hari ini.

Katanya, calon memperoleh Gred Mumtaz (Cemerlang) bagi 10 mata pelajaran pula meningkat seramai 20 calon kepada 54 calon berbanding 34 calon pada tahun sebelumnnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 11:07 AM