AHMAD Lutfi Subahan (kiri) bersama Wan Amirul Haqim Wan Zainudin menunjukan sijil anugerah pelajar cemerlang selepas memperoleh Mumtaz Sofi dalam Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2015, di Sekolah Menengah Tinggi Agama Maahad, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Tiga puluh calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di negeri ini, memperoleh keputusan Mumtaz (Cemerlang) daripada 738 calon yang mengambil peperiksaan itu tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 26 calon adalah pelajar Maahad Johor, Johor Bahru, dua daripada Sekolah Menengah Agama (SMA) An-Nur, Pontian dan masing-masing seorang daripada SMA Arabiah, Kluang dan SMA Lughatul Quran Kesang Tasek, Tangkak.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Aminuddin Adam, berkata bagi keputusan Jayyid Jiddan (Sangat Baik) mencatat 117 calon manakala 210 calon mendapat Jayyid (Baik) dan 35 calon memperoleh Maqbul (Lulus).

"Terdapat peningkatan dari segi bilangan dan peratus calon yang berjaya dianugerahkan sijil STAM untuk 2015 berbanding 2014.

“Jumlah yang berjaya memperoleh pangkat Mumtaz hingga Maqbul (Lulus) adalah 392 berbanding 329 calon pada 2014, meningkat sebanyak 11.02 peratus.

"Kualiti keseluruhan calon atau Gred Purata Negeri (GPN) bagi keputusan STAM 2015 juga menunjukkan peningkatan 0.20 mata daripada 3.27 mata (2014) kepada 3.07 mata (2015)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 1:01 PM