Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengeluarkan kompaun bagi pelbagai kesalahan termasuk merokok di tempat awam dan rokok tanpa gambar amaran kesihatan. - Foto Hiasan
Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengeluarkan kompaun bagi pelbagai kesalahan termasuk merokok di tempat awam dan rokok tanpa gambar amaran kesihatan. - Foto Hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Seri Manjung: Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengeluarkan 122 notis kompaun kepada orang ramai yang melakukan kesalahan berkaitan rokok termasuk merokok di kawasan larangan dalam operasi yang dilakukan bermula kelmarin di sekitar daerah Manjung.

Pengarahnya, Datuk Dr Juita berkata, sebanyak 122 Notis 32B dikeluarkan kepada pesalah dengan jumlah keseluruhan kompaun RM32,500 iaitu denda RM250 seorang bagi kesalahan merokok di kawasan larangan dan denda RM500 bagi kesalahan lain.

Katanya, tangkapan terbanyak ialah merokok di kawasan larangan merokok iaitu dengan mengeluarkan Notis 32B kepada 114 pesalah mengikut Peraturan 11(1)(v) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2014.

"Ia membabitkan perbuatan merokok di kawasan kompleks beli belah yang juga tangkapan tertinggi sebanyak 47 notis diikuti di kawasan stesen bas (37 notis), kawasan hospital (13 notis), kawasan premis kerajaan (12 notis) dan lima notis di kawasan pusat hiburan.

"Kesalahan lain merokok dan memiliki rokok oleh orang belum dewasa sebanyak enam notis manakala dua notis kerana menjual rokok pada harga tidak diluluskan Kementerian Kesihatan dan memiliki rokok tiada amaran kesihatan bergambar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr Juita, operasi secara bersepadu itu membabitkan 93 pegawai kesihatan dari seluruh daerah di negeri ini, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 4:52 PM