Dua lelaki yang menaiki kereta dipercayai pengedar dadah melanggar motosikal anggota URB sebelum ditahan. FOTO Hatim Ab Manan
Oleh Nur Saliawati Salberi


Melaka: Dua lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan polis bersama sejumlah dadah jenis eramin 5 dan syabu bernilai kira-kira RM11,000, di Taman Bertam Indah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, kedua-dua lelaki itu termasuk seorang kakitangan awam dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan.

Sumber berkata, mereka yang menaiki kereta dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengarahkan mereka berhenti, namun memecut kereta di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Assisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 33 tahun itu melarikan diri dari Lebuh SPA berhampiran Bertam sejauh tiga kilometer sehingga ke Bertam Hulu dan turut merempuh motosikal anggota URB sehingga anggota polis itu cedera di lutut.

"Tindakan pantas anggota unit kereta peronda yang tiba selepas itu, berjaya menahan kedua-dua lelaki terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati seorang daripadanya memiliki 50 biji pil Eramin 5 dan 30 gram dadah dipercayai syabu yang disimpan dalam satu beg silang.

"Dadah berkenaan dipercayai untuk bekalan di sekitar Sungai Udang dan Tanjung Minyak selain mereka juga didapati positif dadah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 6:32 PM