PENDUDUK melakukan solat jenazah untuk seorang mangsa yang terbunuh, semalam.

Charsadda: Pakistan berkabung selama sehari semalam selepas serangan maut oleh militan Islam di sebuah universiti di barat laut negara itu yang menyebabkan 21 orang terbunuh.

Empat lelaki bersenjata itu antara yang mati selepas ditembak tentera dalam kejadian di Universiti Bacha Khan, tidak jauh dari Peshawar.

Semalam, seorang lagi pelajar meninggal dunia di hospital, kata jurucakap polis Tariq Khan.

Bendera dikibarkan separuh tiang di bangunan rasmi dan Parlimen, manakala polis turut meningkatkan kawalan keselamatan di sekolah serta pusat pendidikan di seluruh negara.

Kumpulan serpihan Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, yang kedua terhadap institusi pendidikan sejak kejadian di sebuah sekolah pada 2014 yang mengakibatkan 150 orang, termasuk 144 kanak-kanak, mati. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 6:04 AM