Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Dalam satu laporan yang diterbitkan Metro Ahad, minggu lalu memaparkan isu kebimbangan orang ramai mengenai harga rumah yang terlalu tinggi sehinggakan harga ditawarkan hanya menjadikan kediaman itu bersifat mampu lihat berbanding mampu milik.

Laporan itu bersandarkan kepada tinjauan rambang membabitkan 108 respoden Suara Maya laman web myMetro bertajuk: “Harga rumah perlu dikaji semula dan ditetapkan harga siling mengikut jenis serta lokasi supaya ia tidak terlalu tinggi dan mampu dimiliki rakyat tempatan.”

Hasil daripada tinjauan itu mendapati majoriti pembaca iaitu sebanyak 97.2 peratus mengatakan ‘ya’ dengan cadangan berkenaan manakala 2.8 peratus lagi ‘tidak’.

Antara maklum balas diterima ialah bagi mereka yang berpendapatan RM5,000 sebulan belum tentu dapat membeli rumah ketika ini memandangkan harga ditawarkan terlalu tinggi. Malah, ada juga yang berpendapat harga rumah terlalu tinggi dan tidak terkawal menjadi punca utama masih ramai rakyat berpendapatan kecil dan sederhana masih gagal memiliki rumah sendiri.

Mengulas perkara itu, pakar hartanah dan bekas Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) Profesor Datuk Kamal Rashdan Salleh berkata, peningkatan harga jualan kediaman disebabkan beberapa faktor antaranya harga kediaman sekunder yang dijual jauh lebih tinggi berbanding harga kediaman baru.

Beliau berkata, pihak penilai hartanah seharusnya tidak meletakkan harga yang begitu tinggi untuk kediaman jenis sekunder memandangkan ia boleh mempengaruhi harga jualan kediaman baru.

“Untuk memperbetulkan kembali jualan harga rumah ketika ini, penilai hartanah terutamanya perlu meletakkan tanda aras yang baru bagi kediaman sekunder supaya ia tidak akan mempengaruhi kediaman baru.

“Saya melihat dalam keadaan ekonomi yang kurang memberansangkan ketika ini, adalah sesuai untuk melaksanakan pembetulan dari segi meletakkan tanda aras harga jualan rumah sekunder memandangkan jualan kediaman pada waktu ini dilihat akan berlaku sedikit kelembapan,” katanya.

Kamal berpendapat, harga rumah mampu milik pada ketika ini tidak sesuai untuk dilabelkan sebagai mampu milik memandangkan terdapat tawaran harga melebihi RM450,000 ke atas.

Katanya, faktor lokasi dan harga tanah yang mahal menjadi penyebab bagi pemaju hartanah meletakkan harga tinggi bagi kediaman yang dilabel sebagai mampu milik dan sesuatu yang tidak munasabah.

“Seharusnya, kediaman mampu milik perlu dijual bermula pada kadar harga RM250,000 memandangkan ia adalah kadar semasa yang boleh dipertimbangkan orang ramai yang berpendapatan pertengahan membelinya berbanding harga RM400,000 ke atas.

“Asas pengenalan rumah mampu milik ini bermula dari rumah dalam kos pertengahan dan jika sudah ditawarkan pada harga terlalu mahal, ia bukan lagi ditawarkan untuk mereka yang berpendapatan pertengahan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga boleh mengambil langkah dengan memperkenalkan polisi baru iaitu pemaju perumahan perlu menyediakan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan kediaman yang dibangunkan pada kadar harga bermula RM250,000 bagi membolehkan lebih ramai golongan berpendapatan pertengahan memiliki rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:04 AM