Oleh Ustaz Haslin Baharin

Hampir lima bulan suami saya tidak memberikan nafkah zahir dan batin kepada saya walaupun kami duduk serumah. Malah kami juga jarang berkomunikasi, begitu juga dengan anak.

Selama ini juga saya yang menanggung segala keperluan diri dan anak kerana saya bekerja. Apakah yang perlu saya lakukan dalam keadaan ini? Apakah cara terbaik menasihati suami mengenai tanggungjawabnya?

FATIMAH, Kuala Lumpur

Menjadi tanggungjawab suami memberikan nafkah zahir dan batin kepada isteri. Mereka yang tidak melaksanakan tanggungjawab ini dianggap zalim.

Firman Allah SWT bermaksud, “Dan janganlah kalian pegang mereka (isteri) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka.”(Surah Al-Baqarah: 231)

Dalam hal ini, disarankan puan mendapatkan khidmat nasihat dengan tepat daripada mereka yang mahir dalam permasalahan rumah tangga.

Jika menerusi media yang ringkas ini, mungkin disalah erti atau menjadi tidak adil apabila menghukum sebelah pihak tanpa melihat pihak lain yang terbabit.

Umumnya puan boleh berdoa dan melakukan solat hajat supaya Allah SWT memberi petunjuk kepada penyelesaian masalah puan. Puan juga boleh mendapatkan bantuan dan nasihat daripada mereka yang dihormati suami yang boleh menyelesaikan masalah, bukan menambah masalah.

Berterus-terang kepada suami jika sesuai. Boleh juga merancang pergi bercuti berehat, berbincang dan menenangkan fikiran bersama.

Mungkin tindakan yang agresif apabila puan membuat aduan ke Mahkamah Syariah bagi menuntut nafkah batin. Ini kerana nafkah yang diabaikan boleh membawa kepada tuntutan cerai khuluq (tebus talak) atau fasakh.

Puan masih mempunyai banyak hak dan jalan penyelesaian dalam masalah ini. Wallahuaklam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 12:32 AM