PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, bergambar bersama Penerbangan sulung pesawat AirAsia dari Guangzhou ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) hari ini. FOTO Bernama
Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my


Langkawi: Kumpulan AirAsia menyambut ketibaan penerbangan sulung terus dari Guangzhou, China ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), di sini, hari ini.

Ketibaan pesawat AK2010 kira-kira jam 10.30 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang diiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ia mempunyai kekerapan penerbangan empat kali seminggu dua hala iaitu Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan atas wawasan serta mengambil langkah-langkah proaktif untuk memberi Langkawi perhatian yang sewajarnya.

Menurutnya, AirAsia juga menghargai kepercayaan diberikan untuk memajukan LTAL dan memperkembangkan Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di rantau ini dengan lebih banyak penyambungan antarabangsa.

"Dengan menjadikan Langkawi sebagai hab antarabangsa, kami yakin dan boleh meningkatkan trafik pelancongan di pulau ini.

"Kami membuat pelaburan besar untuk memastikan hab ini boleh menampung dan memudahkan pertumbuhan trafik kami dan mencapai matlamat untuk menjadikan Langkawi sebagai hab penerbangan tambang murah (LCC) serantau.

"Kami yakin kerjasama daripada pihak berkuasa dari lapangan terbang dan ahli-ahli utama industri pelancongan di Langkawi, pulau ini akan menambat hati orang ramai dan menjadi salah satu pilihan yang terbaik untuk pelancong China tidak lama lagi," katanya.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar.

Antara tetamu yang mengikuti penerbangan sulung itu termasuk wakil-wakil daripada Lembaga Pelancongan Guangdong dan sekumpulan media dari Guangzhou.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 12:15 PM